Chelsea kembali kelompok empat terbaik

Sinar Harian
Februari 4, 2025 11:10 MYT
Aksi Jarrod Bowen dan pemain lawan Noni Madueke berebut bola ketika perlawanan EPL antara Chelsea dan West Ham United di stadium Stamford Bridge, London, 3 Feb 2025. (Foto AP)
GERGASI London, Chelsea bangkit ketinggalan satu gol untuk menewaskan West Ham United 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Stamford Bridge.
The Blues kendalian Enzo Maresca terlebih dulu ketinggalan apabila Jarrod Bowen, yang memulakan tugasan sulung selepas berehat sebulan akibat patah kaki, meletakkan Hammers di depan minit ke-42 separuh masa pertama.
Bagaimanapun Chelsea yang tiada pilihan kecuali menang berdepan pelawat kendalian bekas pengurus mereka Graham Potter, mula meningkatkan tekanan separuh masa kedua selepas deretan peluang dimiliki Enzo Fernandez, Cole Palmer, Noni Madueke dan Jadon Sanchez dibazirkan 45 minit pertama.
Hasilnya, pemain gantian Pedro Neto berjaya menyamakan kedudukan minit ke-64 sebelum jaringan sendiri Aaron Wan-Bissaka minit ke-74 memadam kelebihan babak pertama Hammers.
"Kemenangan ini datang setelah ketinggalan sangat penting bagi kami. Kami harus konsisten, ini adalah perkara yang paling penting mengharungi baki saingan liga," kata Neto.
Sementara itu, kehadiran Potter yang berada di West Ham tidak sampai sebulan dengan dua kekalahan, satu seri dan satu kemenangan dalam liga setakat ini disifatkan Bowen sebagai petanda positif.
"Prestasi jauh lebih baik sejak pengendali baharu masuk.
"Ia adalah masa yang menggembirakan untuk kembali ke dalam skuad. Semoga masa yang baik akan datang untuk kami."
Tiga mata diraih Chelsea kembali mengangkat calon pencabar kejuaraan liga tersebut ke tangga keempat dengan 43 mata di belakang Nottingham Forest (47 mata) Arsenal (50 mata) dan pendahulu Liverpool (56 mata).
Penyandang juara Manchester City (41 mata), Newcastle United (41 mata) dan Bournemouth (40 mata) mengekori rapat selepas mengharungi 24 perlawanan.
Chelsea selepas ini akan beralih ke saingan Pusingan Keempat Piala FA menentang Brighton and Hove Albion di Stadium Amex pada Ahad. - Sinar Harian
#EPL #Chelsea #Liga Perdana Inggeris #West Ham United
;