Chelsea diharamkan beli pemain untuk dua jendela perpindahan

Israr Khalid
Februari 22, 2019 21:15 MYT
Nasib Sarri kini berada di hujung tanduk. - REUTERS/Fail
BADAN induk bola sepak dunia, FIFA mengharamkan Chelsea daripada membeli mana-mana pemain untuk dua jendela perpindahan akan datang.
Berdasarkan kenyataan rasmi FIFA, keputusan itu dibuat selepas mendapati kelab tersebut melanggar peraturan berkaitan pendaftaran pemain bawah usia 18 tahun.
"Chelsea didapati melanggar artikel 19 Peraturan dalam kes dua puluh sembilan (29) pemain muda dan tidak mematuhi peraturan-peraturan lain melibatkan keperluan pendaftaran pemain. Kelab itu juga melanggar artikel 18bis Peraturan berhubung dua perjanjian melibatkan pemain muda dan menyebabkan ia mempengaruhi kelab lain dalam hal berkaitan perpindahan.
"Jawatankuasa Disiplin menghukum Chelsea dengan penggantungan terhadap pendaftaran pemain baharu di peringkat nasional mahupun antarabangsa untuk dua (2) waktu perpindahan yang seterusnya. Penggantungan ini meliputi seluruh kelab – dengan pengecualian kepada pasukan wanita dan pasukan futsal – dan tidak menghalang pelepasan pemain.
"Selain itu, kelab tersebut juga didenda CHF600,000 dan diberi tempoh 90 hari untuk mengawal selia situasi melibatkan pemain muda."
Persatuan Bola Sepak (FA) England turut dijatuhkan hukuman denda CHF 510,000 dan diberi masa enam bulan untuk menambah baik amalan urus tadbir atas kesalahan bersekongkol dengan pelanggaran peraturan oleh kelab Inggeris itu.
Bagaimanapun, kedua-duanya dibenarkan mencabar keputusan tersebut dengan Jawatankuasa Rayuan FIFA.
"Perlindungan pemain muda adalah unsur utama rangka kerja pengawal seliaan menyeluruh FIFA melibatkan perpindahan pemain dan penguatkuasaan efektif adalah sangat penting, sepertimana disahkan terhadap setiap masa oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan."
Pembelian Christian Pulisic dari Borussia Dortmund yang akan menyertai pasukan baharunya penghujung musim ini sedikit melegakan kerisauan The Blues, namun masa depan ayam tambatannya Eden Hazard menjadi tanda tanya di Stamford Bridge.
Chelsea telah mengumumkan bahawa mereka akan mencabar keputusan tersebut, namun jika gagal, mereka terpaksa berharap kepada pemain-pemain yang dipinjamkan ke kelab lain dan produk remajanya – jenis pemain yang gagal dimanfaatkan sebaiknya pengendali, Maurizio Sarri.
Nasib Sarri juga berada di hujung tanduk, dengan diberikan peluang tiga perlawanan lagi yang akan menentukan masa depannya bersama kelab berpangkalan di London itu.
#ban #bola sepak #Chelsea #Christian Pulisic #Eden Hazard #FIFA #gantung #langgar peraturan #Maurizio Sarri
;