Celine Chuang, pemain remaja wanita negara cipta nama dengan Bayern Munich

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 11, 2020 21:21 MYT
Nama Celine kini mula mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman. Gambar FAM
KUALA LUMPUR : Pemain sayap skuad B-15 wanita kebangsaan, Celine Chuang mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak wanita pertama negara beraksi dengan salah satu kelab bola sepak gergasi Jerman, FC Bayern Munich.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat,
Celine, 15, beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich sejak Julai lalu.
Menurut Celine, dunia bola sepak telah diceburinya seawal usianya 11 tahun lagi.
“Saya memulakan latihan secara serius dalam sukan ini lebih kurang empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun dengan Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang.
“Teknik baharu serta menyeronokkan yang boleh dipelajari adalah salah satu faktor saya jatuh hati terhadap sukan ini selain membantu saya mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan tekanan,” kata Celine.
Celine membuat keputusan berhijrah ke negara jiran bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket, Thailand selama dua tahun.
“Ketika mengikuti latihan di Malaysia, saya banyak mempelajari tentang asas bola sepak. Namun, di Thailand pula, latihannya lebih sengit dan mendalam kerana saya berlatih sepanjang minggu di bawah metodologi Cruzeiro,” katanya menurut kenyataan FAM tersebut.
Celine yang kini tinggal di Munich, Jerman bersama keluarga sebenarnya turut berkongsi minat sukannya itu bersama abangnya di sana.
Bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama kelab Bavaria itu Februari lalu.
“Beraksi dan berlatih bersama FC Wacker Munchen e.V banyak mengajar saya untuk memperbaiki teknik selain mendidik saya untuk jadi lebih berkeyakinan,” katanya berkongsi pengalamannya sepanjang empat bulan menyertai kelab itu.
Nama Celine kini mula mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaannya menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.
Celine sebelum ini telah mengutip gol antarabangsanya yang pertama bersama skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada aksi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Kemboja 2-1 di Chonburi, Thailand.
#Bayern Munich #FAM #Harimau Malaysia #Thailand #ASEAN #bola sepak #Piala Dunia #wanita #sekolah #kesihatan #pemilihan #Jerman #sukan #remaja #lelaki #Celine
;