CDM puji atlet 'luar biasa' di Kemboja capai sasaran emas
Bernama
Jun 7, 2023 13:37 MYT
Jun 7, 2023 13:37 MYT
PHNOM PENH: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) 2023 Noor Syahieda Mat Shah memuji semangat juang atlet "luar biasa" yang mampu mencapai sasaran 33 pingat emas buat negara seawal hari keempat temasya dwitahunan itu berlangsung di Kemboja, semalam.
Beliau berkata kredit harus diberikan kepada barisan atlet dan jurulatih yang telah berpenat lelah menjalani latihan tanpa jemu dalam mempersiapkan diri mereka untuk menggalas cabaran Malaysia yang akan melabuhkan tirainya pada Jumaat ini.
"Mereka (atlet) meggunakan kudrat sendiri untuk bermain acara yang disusun secara back-to-back (padat) jadi sudah semestinya pujian harus diberikan kepada mereka.
"Atlet juga langsung tidak pernah merungut berkenaan apa-apa, jadi bagi saya sasaran emas ini untuk mereka dan negara," katanya selepas gandingan Chee Chaoming-Brady Chin menghadiahkan emas ke-33 buat Malaysia menerusi acara beregu pingpong lelaki (Kelas 9- masalah keseimbangan ringan).
Emas keramat itu hadir semalam selepas gandingan negara menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez, 11-8, 11-7 dan 11-8, pada aksi final di Dewan Pingpong, Stadium Morodok.
Noor Syahieda berkata atlet negara yang akan mengambil bahagian berbaki tiga hari temasya seharusnya menggunakan peluang itu untuk mengumpul sebanyak mungkin pingat apabila tiada lagi tekanan buat mereka.
"Sekarang ini tiada lagi tekanan buat atlet jadi mereka harus berseronok sebab lepas ini emas bonus dibuat adalah untuk mereka sendiri. Insya-Allah, saya yakin mereka mampu membawa lebih banyak emas," katanya.
Malaysia kini mempunyai 33 emas, 27 perak dan 18 gangsa dan berada pada kedudukan keempat carta pungutan pingat setakat pukul 8 pagi waktu Malaysia hari ini.
Majlis Paralimpik Malaysia sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada penampilan di Kemboja.
-- BERNAMA