Cavani mungkin diturunkan menentang Perancis

Ian Johan Ariff
Julai 3, 2018 04:05 MYT
Edinson Cavani kemungkinan besar diturunkan menentang Perancis dalam suku akhir Piala Dunia FIFA Rusia 2018. - Gambar REUTERS/Murad Sezer.
PENYERANG Uruguay, Edinson Cavani boleh diturunkan menentang menentang Perancis dalam suku akhir nanti, selepas doktor mendapati tiada otot yang koyak akibat kecederaan hamstring yang dialaminya.
Cavani mengalami kecederaan itu selepas menjaringkan dua gol dalam aksi 16 pasukan terakhir menentang Portugal pada Sabtu dan dilihat tidak menjalani latihan bersama skuad Uruguay pada Rabu.
Bagaimanapun, kecederaannya tidak serius dan berusaha keras untuk cuba pulih sebelum perlawanan suku akhir yang berlangsung pada 6 Julai 10 malam ini.
Cavani sudah menjaringkan tiga gol untuk Uruguay untuk Piala Dunia di Rusia ini, diikuti Luis Suarez, dua gol dan Jose Gimenez, satu gol.
Bagaimanapun Cavani mungkin tidak diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan tersebut untuk mengelak kecederaan berulang.
Bagi skuad Perancis, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dalam skuad bimbingan Didier Deschamps itu.
Penyerang muda, Kylian Mbappe setakat ini paling menyerlah untuk skuad Les Blues dengan menjaringkan tiga gol, termasuk dua gol yang membenam Argentina dalam perlawanan 16 pasukan terakhir, Sabtu lepas.
Olivier Giroud yang dimasukkan pada perlawanan kedua banyak menyumbang sebagai ‘target man’ dalam tiga perlawanan yang melibatkan penyerang Chelsea itu.
Namun adakah barisan anak buah Didier Deschamps ini mampu untuk merobek gawang Uruguay yang hanya bolos sekali setakat ini?
Uruguay dan Perancis pernah bertemu dalam saingan Piala Dunia pada 2010 dan 2002, yang berakhir dengan seri tanpa jaringan.
Pada Piala Dunia 1966, Uruguay mengatasi Perancis 2-1 dalam pertarungan di Stadium White CIty, London.
Dalam kempen Piala Dunia kali ini, Uruguay mempunyai barisan pertahanan yang lebih baik apabila bolos sekali dengan tujuh gol dijaringkan.
Perancis turut menjaringkan tujuh gol setakat ini namun empat kali gawang mereka dibolosi.
Penguasaan permainan memihak kepada Perancis dengan 51.96% berbanding 49.45% dimiliki Uruguay sepanjang kempen Piala Dunia di Rusia ini.
Perancis juga mempunyai peratusan yang lebih baik dari segi hantaran yang lebih tepat berbanding Uruguay dengan 83.35% ketepatan hantaran berbanding 82.32% dibuat Uruguay.
Perlawanan suku akhir antara Uruguay dan Perancis akan berlangsung di Stadium Nizhny Novgorod pada 6 Julai, jam 10 malam (waktu Malaysia).

#RayaBola Uruguay atau Perancis menjadi pilihan anda untuk ke separuh akhir Rusia 2018?#PialaDuniaAWANI #Rusia2018 #URU #FRA

— Bual Bola AWANI #RayaBola2018 #PialaDuniaAwani (@bualbola) July 5, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Awani FIFA #Edinson Cavani #Kylian Mbappe #Nizhny Novgorod #Olivier Giroud #Perancis #Raya Bola 2018 #Uruguay
;