Catur dalam senarai akhir 16 sukan pada Sukan Para ASEAN 2017
Bernama
Disember 12, 2016 22:49 MYT
Disember 12, 2016 22:49 MYT
Sukan Para ASEAN kesembilan akan menampilkan 16 sukan, dengan catur secara rasmi tersenarai pada temasya sukan dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 17 hingga 23 Sept, tahun depan.
Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dalam kenyataan, hari ini mengesahkan catur antara sukan dipertandingkan pada temasya sukan itu selepas perkara itu dibincangkan pada mesyuarat exco badan induk sukan tersebut di Kuala Lumpur, bulan lepas.
Acara pelayaran, yang sebelum ini dicadangkan antara 16 sukan pada temasya sukan itu oleh Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC), digugurkan daripada senarai sukan berkenaan.
Presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavilai berkata persetujuan itu dicapai selepas mesyuarat antara APSF dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) di Kuala Lumpur.
Osoth dan Setiausaha Agung Charnvit Munikanond mengetuai delegasi APSF, manakala MASOC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zolkples Embong dan Pengerusi Teknikal, John Ng, yang juga Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Acara dan disiplin bagi setiap sukan yang bakal dipertandingkan akan dimuktamadkan pada tarikh kemudian selepas perbincangan dengan Persekutuan Antarabangsa (IFs) dan Delegasi Teknikal sukan-sukan berkenaan.
Catur, dianggap antara sukan popular dalam kalangan golongan Paralimpik ASEAN dan disenaraikan berdasarkan kepada dapatan Pernyataan Minat (EOI) yang dijalankan APSF.
Sukan Para ASEAN 2017 dijangka menampilkan lebih 350 acara, dengan penyertaan kira-kira 3,000 atlet dan pegawai daripada kesemua 11 negara ASEAN termasuk Timor Leste.
Senarai akhir sukan pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017:
------------------------------------------------------------
1. Memanah
2. Olahraga
3. Badminton
4. Boccia
5. Catur
6. Berbasikal
7. Bola Sepak Lima Sebelah
8. Bola Sepak Tujuh Sebelah
9. Goalball
10. Powerlifting
11. Bola Tampar Duduk
12. Renang
13. Ping Pong
14. Tenpin Boling
15. Tenis Berkerusi Roda
16. Bola Keranjang Berkerusi Roda
-- BERNAMA