Cassandra raih emas Kejohanan Dunia Jiu-jitsu Abu Dhabi
Haider Yutim
Mei 1, 2019 20:13 MYT
Mei 1, 2019 20:13 MYT
Atlet Jiu-jitsu, Cassandra J. Poyong mengharumkan nama negara apabila menjadi wanita Malaysia yang pertama meraih pingat emas di Kejohanan Dunia Masters Jiu-Jitsu Abu Dhabi 2019.
Anak kelahiran Sabah berusia 30 tahun itu mengalahkan dua peserta lain, Marianna Jurkiewicz dari Poland dan Jelsilene Monteiro dari Brazil dalam kategori wanita bawah 55kg.
Cassandra yang berlatih di Monarchy MMA gim di Kuala Lumpur menyifatkan kemenangannya itu sebagai usaha berpasukan.
"Ini adalah satu usaha pasukan, tidak syak lagi. Dari latihan yang gigih kepada proses penurunan berat badan, saya tahu ramai yang memberi sokongan kepada saya," katanya menerusi catatan di akaun Instagramnya baru-baru ini.
Sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut, Cassandra yang berasal dari Kota Kinabalu, juga telah memenangi dua emas dalam kejohanan IBJJF Manila Terbuka tahun ini, dan beberapa lagi pingat emas dalam kejohanan jiu-jitsu Copa da Malasia di Malaysia.
Berlangsung dari 20 hingga 26 April, Kejohanan Dunia Masters Jiu-Jitsu Abu Dhabi 2019 menarik ribuan atlet dari seluruh dunia, yang bersaing untuk gelaran juara.
Kejohanan peringkat dunia ini merupakan antara acara terbesar dan penting dalam kalendar jiu-jitsu global.
Edisi tahun ini telah menarik lebih banyak atlet dari seluruh dunia berbanding sebelum ini.
#Brazilian Jiu-jitsu
#Cassandra J Poyong
#IBJJF Manila Terbuka
#Jelsilene Monteiro
#Kejohanan Dunia Jiu-Jitsu Abu Dhabi
#Marianna Jurkiewicz
#Monarchy MMA