Casemiro yakin United di landasan tepat
Sinar Harian
Januari 30, 2023 13:54 MYT
Januari 30, 2023 13:54 MYT
CASEMIRO percaya The Red Devils berada di landasan bagus dan bermain untuk Manchester United membuatkannya kembali teruja seperti remaja berusia 15 tahun.
United gagal mendapatkan Frenkie de Jong dan Adrien Rabiot kemudiannya menandatangani pemain antarabangsa Brazil itu dari Real Madrid pada Ogos.
Beberapa pihak mempersoalkan tindakan United membayar harga yang mahal untuk Casemiro, namun pemain berusia 30 tahun itu dilihat semakin serasi bersama kelab.
"Apabila anda tiba di kelab baharu, anda sentiasa bermimpi untuk mencipta sejarah... terutamanya jika kita melihat kehebatan kelab ini.
"Kita tahu sejarahnya. Tetapi sudah tentu, saya sedar memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan saingan mempunyai rancangan jangka panjang," katanya.
Casemiro juga menjelaskan, beliau menikmati kehidupan di Old Trafford dan melihat kelab berkembang dengan baik adalah sesuatu yang sangat positif.
"Saya sangat selesa di Manchester United, sangat gembira berada di sini dan menikmati setiap detik seperti kanak-kanak berusia 15 tahun.
"Tetapi yang paling penting ialah melihat pasukan berkembang," katanya.
Casemiro yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Reading dalam saingan Piala FA, memberi amaran bahawa United yang kekal bersaing dalam empat piala masih dalam proses untuk menjadi pasukan lebih bagus.
Mereka kini di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dan hampir pasti ke final Piala Liga selepas menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu.
Mereka juga masih bersaing dalam Liga Europa dan akan berdepan Barcelona pada perlawanan play-off. - Sinar Harian