Carrick umum tinggalkan Manchester United

Astro Arena
Disember 3, 2021 11:10 MYT
Carrick membuat 464 penampilan bersama United di antara 2006 dan 2018. - Astro ARENA
Michael Carrick memutuskan untuk meninggalkan Manchester United sebaik tempohnya sebagai pengurus sementara berakhir, demikian kelab itu mengesahkan.
Bekas pemain tengah United itu memainkan peranan sebagai pengurus sementara selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer gara-gara kekalahan memalukan 1-4 kepada Watford.
Dia kemudian menyelia kemenangan 2-0 di Villarreal yang membawa United ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) disusuli mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, 1-1 sebelum Ralf Rangnick disahkan sebagai pengurus sementara yang baru Isnin depan.
Visa Rangnick baru sahaja diluluskan bagi mendapat lampu hijau mengendalikan pasukan itu dan kelibatnya ada di bangku peminat ketika Carrick mengemudi United untuk menang 3-2 ke atas Arsenal di Old Trafford, awal pagi tadi.
Kelab itu kemudian mengeluarkan satu kenyataan sejurus wisel penamat untuk mengumumkan bahawa Carrick tidak akan berkhidmat sebagai jurulatih di bawah pimpinan Rangnick.
Carrick yang mengakui keputusan itu berdasarkan kehendaknya sendiri berkata: "Tempoh saya di kelab hebat ini akan sentiasa tersenarai sebagai tahun terbaik dalam karier saya. Apabila saya mula-mula menandatangani kontrak di sini lebih 15 tahun yang lalu, saya tidak pernah membayangkan mampu memenangi begitu banyak trofi dan saya pasti tidak akan melupakannya. Ia satu kenangan yang indah sebagai pemain dan sebagai ahli barisan kejurulatihan.

Thank you, Michael #MUFC pic.twitter.com/4dH94HA1O6

— Manchester United (@ManUtd) December 2, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Namun, selepas berfikir panjang dan berbincang, saya memutuskan kini adalah masa yang sesuai untuk saya meninggalkan kelab ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada semua pemain, khususnya kepada kakitangan belakang tadbir. Bertugas selama berjam-jam di samping sekumpulan orang yang hebat adalah suatu keseronokan yang nyata dan saya telah menjalinkan beberapa hubungan persahabatan yang berpanjangan.
"Saya akan sentiasa menjadi peminat Manchester United dan akan datang menonton seberapa banyak perlawanan yang mungkin. Saya ingin mengucapkan yang terbaik kepada Ralf, kakitangan, pemain serta peminat demi kejayaan masa depan dan saya berharap dapat menyaksikannya sebagai peminat," katanya.
Carrick membuat 464 penampilan bersama United di antara 2006 dan 2018 dengan menikmati lima kejayaan EPL dan kejayaan UCL yang merupakan antara 11 gelaran yang dimenanginya bersama kelab itu.
Dia menyertai kakitangan kejurulatihan pasukan utama selepas bersara dan pernah bekerja di bawah Jose Mourinho dan Solskjaer.
#bola sepak #Michael Carrick #Manchester United #pengurus
;