Carrick sahut cabaran kemudi Manchester United
Astro Arena
November 23, 2021 10:58 MYT
November 23, 2021 10:58 MYT
PENGURUS sementara Manchester United, Michael Carrick, menyahut cabaran untuk mengemudi pasukan itu untuk pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Villarreal berikutan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.
Pengurus kelahiran Norway itu dilucutkan jawatannya di Old Trafford kelmarin ekoran keputusan buruk kebelakangan ini dan kemuncaknya dengan kekalahan memalukan 1-4 di Watford, kelmarin.
Carrick merupakan sebahagian daripada kakitangan belakang tadbir Solskjaer dan telah diminta untuk mengendalikan The Red Devils sementara menunggu pelantikan pengurus baru.
Bercakap dalam sidang media sebelum kunjungan ke Sepanyol untuk perlawanan awal pagi esok, Carrick memberitahu pemberita: "Fikiran saya tertumpu kepada aspek persediaan pasukan dan saya akan memberikan yang terbaik.
"Kelab ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sejak sekian lama. Saya tidak pasti berapa lama ia akan bertahan tetapi ia tiada dalam fikiran saya ketika ini.
"Ini adalah satu perlawanan yang penting buat kami. Saya akan menjalankan tugas setakat yang saya tahu, mempercayai diri sendiri dan kakitangan saya, barisan pemain dan menantikan perlawanan ini."
Apabila ditanya sama ada terdapat sebarang perubahan terhadap taktik yang bakal dipertaruhkan, Carrick menjawab: "Saya telah bekerjasama rapat dengan Ole sejak sekian lama dan kami mempunyai kepercayaan yang serupa.
"Sudah tentu saya mempunyai personaliti tersendiri tetapi ia sangat mirip dengan Solskjaer dan itulah sebabnya kami dapat bekerjasama dengan baik untuk satu tempoh yang panjang. Saya mempunyai perancangan yang jelas di dalam minda tentang apa yang kami mahu lakukan dan bagaimana kami mahu meneruskannya.
"Ia adalah satu cabaran yang saya gemari ketika ini dan saya sangat menantikannya. Saya tahu keputusan yang diperoleh tidak seperti yang kami hajati tetapi ini adalah satu kumpulan pemain yang hebat -– mereka telah membuktikannya sebelum ini dan mereka akan membuktikannya sekali lagi."
Bekas pemain tengah United dan England itu turut ditanya apakah dia sudah mengetahui bahawa akan mengendalikan pasukan itu untuk sekurang-kurangnya perlawanan seterusnya.
"Saya mendapat tahu mengenainya di tempat latihan (semalam)," kata Carrick.
"Saya tidak tahu apa-apa sebelum itu dan saya tidak fikir sesiapa pun (dalam kalangan kejurulatihan dan pemain) tahu mengenainya. Olejuga sudah berada di sini. Ketika itu ia berlaku agak mendadak untuk mengatur latihan, bercakap dengan pemain dan melaksanakan kerja seharian.
"Semua perkara perlu dipertimbangkan, ia berjalan dengan baik semalam, semua orang menyesuaikan diri dengan penuh kelas."
United akan ke Villarreal selaku peneraju tangga Kumpulan F tetapi menyamai jumlah tujuh mata dengan kelab Sepanyol itu, manakala Atalanta yang di tempat ketiga hanya ketinggalan dua mata.
“Perkara terbesar untuk peminat ialah mengenai keputusannya,” tegas Carrick.
"Ada tanggungjawab yang perlu dipikul apabila mewakili kelab ini dan ia tidak wujud di kelab lain.
"Villarreal mempunyai gabungan, keseimbangan yang baik dan kami menghormatinya. Kami pernah bertemu beberapa kali dan kami amat mengenali di antara satu sama lain. Ia adalah satu perlawanan yang getir buat kedua-dua pasukan tetapi ia juga begitu dinantikan."