Carlos Sainz Ferrari muncul juara Grand Prix F1 Singapura
Bernama
September 18, 2023 11:48 MYT
September 18, 2023 11:48 MYT
SINGAPURA: Carlos Sainz melakar kemenangan untuk Ferrari dalam Grand Prix Formula 1 Singapura 2023, meninggalkan pesaing terdekatnya dengan hanya 0.812 saat.
Pemandu Sepanyol berusia 29 tahun itu menunjukkan aksi cemerlang untuk mengatasi trio Britain, Lando Norris dengan gandingan McLaren dan Mercedes Lewis Hamilton dan George Russell pada peringkat terakhir perlumbaan 62 pusingan itu.
"Perasaan yang luar biasa, hujung minggu yang luar biasa.
"Saya sentiasa berasa seperti saya mempunyai ruang dan mampu untuk melakukan apa sahaja yang saya mahu lakukan," kata Sainz selepas meraih kemenangan kedua dalam karier F1nya dan kejayaan keenam Ferrari di Singapura.
Ini termasuk menguruskan rentak perlumbaan sejak awal perlumbaan dengan bantuan rakan sepasukan Charles Leclerc dan memberi tindak balas kepada Kereta Keselamatan Maya pada jarak dua pertiga, membolehkan Mercedes menyaingi kedua-dua pemandu.
Menggunakan kelajuannya sendiri untuk membantu Norris mendapat kelebihan daripada zon Drag Reduction System (DRS) ketika pemandu Inggeris itu bertahan menentang pasangan Mercedes, Sainz menguasai 10 pusingan terakhir dengan cemerlang.
Norris menamatkan perlumbaan malam itu di tempat kedua.
"Beginilah sepatutnya!" kata Hamilton, pemenang empat kali Singapura menduduki podium ke-196 dalam karier 325 perlumbaannya.
"Pasukan melakukan kerja yang menakjubkan hari ini," kata Hamilton yang menduduki tempat ketiga.
Hamilton turut meraih mata tambahan untuk pusingan terpantas, 1:35.867 dengan kelajuan purata 185.507 km sejam.
Litar Jalanan Marina Bay menerima 264,108 peminat Formula 1 Grand Prix Singapore Airlines Singapura 2023 pada hujung minggu.
Perlumbaan malam itu diadakan di Litar Jalan Marina Bay sepanjang 4.940 km di sini dengan Kevin Jan Magnussen dari Haas melengkapkan 10 tempat terbaik dalam perlumbaan yang menyaksikan hanya 15 pelumba sampai ke garisan penamat.
-- BERNAMA