Cara Selangor FC tempuhi Ramadan dalam persiapan hadapi Liga-M 2024/2025
Bernama
Mac 30, 2024 05:40 MYT
Mac 30, 2024 05:40 MYT
KUALA LUMPUR: Menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2024/2025 yang dijadual bermula Mei ini, setiap ketua jurulatih melalui cabaran lebih unik dalam mempersiapkan pasukan mereka apabila perlu mengendalikan sesi latihan dalam bulan Ramadan.
Persediaan yang tidak ideal boleh menjejaskan tahap kecergasan pemain dan mengakibatkan pasukan memulakan saingan musim baharu dengan agak perlahan, selain boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain susulan bersaing dalam aksi berintensiti tinggi.
Bagi pengendali baharu Selangor FC Nidzam Jamil, antara keutamaannya adalah mengimbangkan tahap kecergasan dan kondisi tubuh pemain yang berpuasa tanpa menjejaskan graf perkembangan prestasi pemain yang tidak berpuasa.
"Kadangkala bulan Ramadan agak merumitkan kerana pemain beragama Islam yang kebiasaannya tidur sekitar pukul 10 dan 11 malam perlu berlatih pada waktu itu semasa Ramadan.
"Pemain bukan Islam terutamanya pemain import juga terkesan kerana pukul 10 malam kebiasaannya mereka sudah pun tidur, tetapi di Malaysia mereka perlu berlatih, ini merupakan budaya baharu kepada mereka terutama yang pertama kali di sini seperti Ronnie Fernandez," katanya kepada Bernama.
Nidzam jelas mahu para pemainnya berada pada tahap terbaik menjelang aksi pertama liga apabila mengekalkan tahap intensiti latihan yang hampir sama dengan sebelum ini sepanjang Ramadan.
"Rutin latihan tidak banyak berubah, biasanya berbuka puasa dalam lingkungan 7.30 malam dan pemain akan diberi masa untuk mengambil makanan dan minuman yang cepat hadam. Pakar pemakanan akan memberi nasihat tentang makanan apa perlu diambil, waktunya dan bagaimana ia perlu diambil.
"Kami juga ada penjangkalaan, apa yang penting semua orang sihat dan di hujung pramusim nanti, saya mempunyai 25 pemain yang cukup cergas untuk mengharungi saingan liga sepanjang musim," katanya.
Menurut Nidzam, sesi latihan sepanjang Ramadan dijalankan pada sebelah malam kerana majoriti pemain beragama Islam, sambil menyifatkan latihan pada sebelah siang ketika perut kosong berisiko kepada pemain.
Menurutnya sesi latihan pasukan akan berlangsung kira-kira satu jam setengah bermula seawal 10 malam.
Nidzam yang merupakan bekas pengendali Felda United FC, pernah menjadi pembantu ketua jurulatih dan ketua jurulatih sementara Selangor sebelum diberi kepercayaan untuk membimbing skuad Gergasi Merah selepas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe meninggalkan naib juara Liga Super 2023 itu awal tahun ini.
-- BERNAMA