Cane dilantik kapten baru All Blacks
Astro Arena
Mei 6, 2020 10:00 MYT
Mei 6, 2020 10:00 MYT
SAM Cane dinamakan sebagai pengganti Kieran Read untuk mengetuai pasukan ragbi New Zealand, All Blacks.
Pemain berusia 28 tahun itu membuat kemunculan pertama ketika menentang Ireland pada 2012 dan sejak itu telah mewakili negaranya sebanyak 68 kali dengan 48 daripadanya berada dalam barisan utama.
Cane, yang sudah tiga kali muncul sebagai ketua pasukan New Zealand, merupakan pemenang Piala Dunia Ragbi edisi 2015 dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang menduduki tempat ketiga di Jepun tahun lalu.
"Ini adalah satu cabaran yang sangat menarik memandangkan saya telah lama bersama All Blacks dan berkembang sebagai pemain, saya semakin selesa untuk pemimpin pasukan ini," katanya.
"Perkara yang hebat tentang All Blacks ialah kehadiran ramai pemimpin dan pemain berpengalaman, jadi saya amat berharap dapat bekerjasama dengan kumpulan pemain ini dan melakukan yang terbaik untuk memimpin mereka dan yang lain.
"Pendekatan selaku kapten tidak akan sama sekali mengubah cara saya melakukan sesuatu. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan terus begitu. Saya sudah berusaha membina hubungan terutama dengan pemain-pemain muda skuad ini termasuk individu yang berkaitan dengan pasukan ini, jadi ia akan diteruskan.
"Walaupun kami belum tahu bagaimana baki cabaran tahun ini buat All Blacks, saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dengan jurulatih dan pemain senior lain dalam merencanakan perancangan kami."
Sementara itu jurulatih baharu, Ian Foster, berkata Cane yang telah membuat 116 penampilan bersama The Chiefs dengan memenangi dua gelaran Ragbi Super adalah seorang pemimpin semula jadi dan akan memainkan peranan penting.
"Dia amat dihormati dalam kalangan pemain dan pengurusan dan dia berada di tempat yang sempurna untuk memimpin All Blacks pada masa depan.
"Kami ingin mengesahkan bahawa Sam akan memainkan peranan penting untuk membantu kami membuat perancangan masa depan dan dia akan bekerja di belakang tabir di samping pemimpin-pemimpin lain."