Calon tempatan masih diberi keutamaan jadi KP MSN - Khairy
Bernama
November 11, 2014 09:13 MYT
November 11, 2014 09:13 MYT
Calon tempatan masih diberi keutamaan bagi mengisi jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata pihaknya mendapat banyak sambutan bagi pengisian jawatan itu oleh pemohon tempatan berbanding calon luar.
"Sudah pasti kecenderungan saya sebagai menteri mahu lihat orang tempatan mengisi jawatan ini tetapi tidak salah kita buka jawatan ini untuk mereka yang lain di luar sana.
Saya buka jawatan ini kerana saya mahu lihat pilihan yang ada di luar sana. Bukan tujuan saya membuka jawatan ini bermaksud automatik kita tidak pilih calon tempatan, mungkin orang tempatan calon terbaik," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dengan empat syarikat di sini pada Isnin.
Perjanjian itu membolehkan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menjalani latihan berdasarkan bidang pengajian mereka di syarikat AEON Co (M) Berhad, Samsung SDI Energy (M) Sdn Bhd, Hotel Tune dan Kumpulan Tan Chong Group.
Khairy sebelum ini mengumumkan jawatan Ketua Pengarah MSN yang merupakan jawatan kontrak dua tahun, kini dibuka kepada orang ramai untuk memohonnya.
Individu berminat boleh memohon jawatan itu yang sudah diiklankan pada 4 Nov lepas di laman web rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hingga tempoh tiga minggu akan datang.
Sehingga hari ini, Khairy berkata pihaknya menerima sebanyak 15 permohonan.
Sebelum ini jawatan Ketua Pengarah MSN disandang oleh Datuk Seri Zolkples Embong yang kini dilantik sebagai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017, yang mana Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya itu.
Dalam pada itu KBS turut mengumumkan jawatan Pengarah Sukan Prestasi Tinggi , kini dibuka kepada orang ramai untuk memohon bermula semalam.
Khairy berkata Damien Kelly pernah menyandang jawatan itu pada sekitar tahun 2006-2007.