Cadillac sah jadi pasukan ke-11 Formula 1 2026

Astro Arena
Mac 12, 2025 14:45 MYT
Cadillac akhirnya mendapat lampu hijau daripada pihak penganjur untuk menyertai Formula 1 sebagai pasukan ke-11 di grid perlumbaan bagi musim 2026. - Stadium Astro
KELUARGA besar Formula 1 nampaknya akan menerima kehadiran ahli baharu dalam kancah perlumbaan paling elit di dunia itu apabila pasukan Cadillac sah akan menyertai siri perlumbaan bermula 2026.

Ringkasan AI
  • Pasukan Cadillac akan menyertai Formula 1 sebagai pasukan ke-11 bermula musim 2026, dengan sokongan TWG Motorsports dan General Motors.
  • Cadillac akan menggunakan enjin Ferrari untuk penampilan pertama mereka dan telah melantik Graeme Lowdon untuk memimpin pasukan.
  • Presiden FIA mengesahkan Cadillac telah mematuhi semua syarat, dan TWG Motorsports telah mengumpulkan lebih 300 tenaga kerja untuk pembangunan pasukan.

Ini bermakna satu lagi era baharu Formula 1 akan bermula selepas ini.
Cadillac akhirnya mendapat lampu hijau daripada pihak penganjur untuk menyertai Formula 1 sebagai pasukan ke-11 di grid perlumbaan bagi musim 2026.
Dengan sokongan yang diterima daripada TWG Motorsports dan General Motors, jenama pengeluar Amerika Syarikat itu bersedia untuk bersaing di samping pengeluar-pengeluar yang sudah termasyhur ketika ini.
Pasukan ini sebenarnya dilaporkan pernah mengumumkan hasrat mereka untuk menyertai kancah perlumbaan Formula 1 sejak 2023 lagi.
Namun disebabkan beberapa faktor selain pelbagai persiapan yang perlu mereka jalani, hasrat itu tertangguh selama dua tahun sebelum mampu mengesahkan penyertaan mereka.
Buat masa ini pasukan Cadillac akan dibekalkan dengan enjin Ferrari untuk penampilan pertama mereka nanti sebelum mereka dijangka akan mempertaruhkan jentera mereka sendiri.
Perlantikan Graeme Lowdon yang berpengalaman luas dalam dunia F1 untuk memimpin pasukan ini juga dilihat bahawa Cadillac tidak hanya mahu melengkapkan senarai pasukan yang bertanding tetapi mereka memiliki sasaran yang jauh lebih tinggi iaitu mahu memahat nama mereka selaku pemenang.
Presiden FIA, Mohammed Sen Sulayem minggu lalu mengesahkan bahawa segala syarat yang ditetapkan dalam perlumbaan Formula 1 telah dipatuhi sepenuhnya oleh pasukan Cadillac.
Justeru menurut beliau, tiada alasan yang boleh melengahkan penyertaan mereka ke dalam Formula 1.
"Kemasukan kesebelas pada 2026 nanti adalah satu pencapaian yang penting. GM atau Cadillac akan membawa tenaga baharu yang lebih menarik ke dalam sukan ini," kata Ben Sulayem.
TWG Motorsports setakat ini telah mengumpulkan lebih 300 tenaga kerja yang sangat fokus kepada pembangunan aerodinamik, casis, komponen, perisian serta simulasi dinamik kenderaan yang bakal digunakan mereka pada musim depan.
Bagaimanapun Cadillac setakat ini belum lagi memutuskan siapakah yang bakal dipilih untuk menjadi pemandu mereka bagi musim pertamanya pada 2026.
Namun ia bukanlah sesuatu yang sukar buat mereka memandangkan ketika ini terdapat ramai pemkandu yang berpengalaman yang memenuhi kuota pemandu simpanan Formula 1 yang bersedia pada bila-bila masa untuk beraksi. -- Stadium Astro
#Formula 1 #Cadillac #musim 2026 #F1
;