Cabaran MSN rangka persiapan Sukan SEA, Sukan Olimpik
Astro Arena
November 2, 2018 07:03 MYT
November 2, 2018 07:03 MYT
MAJLIS Sukan Negara (MSN) berdepan cabaran getir, bukan sahaja perlu menggunakan sumber sedia ada untuk merangka strategi meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun dalam masa yang sama menyiapkan kontinjen yang mantap menjelang Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Manila 2019.
Berdasarkan Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada Jumaat, hanya RM100 juta diperuntukkan dalam sektor sukan dan tumpuan dikhususkan kepada persiapan atlet untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan jumlah peruntukan tersebut cukup untuk menampung persiapan atlet untuk menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Manila 2019.
Pecahannya, bagaimanapun, akan ditentukan sebaik mendapat pengesahan acara yang bakal disertai oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
"Jumlah yang diberikan yang merangkumi atlet Program Podium dan kumpulan sasar yang lain adalah sama.
"Saya tidak nampak sebarang pengurangan dan penambahan mengenai peruntukan itu.
"Bagaimanapun, kami akan mendapatkan perincian maklumat daripada Kementerian Kewangan," ujar Shapawi.
Menyedari perkembangan pesat dialami sukan elektronik (E-Sukan) di Malaysia, Shapawi juga lega dana RM10j diperuntukkan untuk menyusun pembangunan program E-Sukan tempatan dengan lebih terancang.
"MSN telah mempunyai cadangan yang akan dikemukakan kepada Lembaga Pengurusan MSN untuk memajukan E-Sukan yang merangkumi prasarana khusus untuk E-Sukan dengan pertandingan dan latihannya perlu disusun agar lebih seragam," tambahnya.
Sementara itu, MOM mencadangkan persatuan sukan kebangsaan bersiap sedia mencari rakan sukan sebagai sumber pendapatan alternatif.
Pegawai persatuan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapat dana berikutan bajet yang diterima tidak cukup untuk menggerakkan kesemua 56 ahli gabungan MOM.
"Walaupun sesebuah persatuan sendiri berusaha mencari dana, sekiranya mereka tidak mempunyai atlet (tersohor) seperti Datuk Lee Chong Wei, mereka akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan penajaan.
"Saya harap kerajaan dapat menyambung program-program sebelum ini seperti Program Podium atau Kita Juara," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
#Ahmad Shapawi Ismail
#atlet
#Bajet 2019
#Belanjawan 2019
#dana
#e-sukan
#Majlis Olimpik Malaysia
#Majlis Sukan Negara
#MSN
#Olimpik Tokyo
#persiapan
#peruntukan
#pingat emas
#sukan
#Sukan Olimpik Tokyo 2020
#Sukan Para ASEAN Manila 2019
#Sukan SEA