Cabaran Malaysia pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 berakhir

Bernama
Disember 10, 2022 05:40 MYT
Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ternyata bukan tandingan kepada beregu China, Zheng Si Wei-Huang Qiong apabila tewas mudah 10-21, 15-21 dalam masa 27 minit. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai wakil di pentas final Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 selepas dua beregu profesional negara terkandas di saingan separuh akhir, di Bangkok, pada Sabtu.
Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ternyata bukan tandingan kepada beregu China, Zheng Si Wei-Huang Qiong apabila tewas mudah 10-21, 15-21 dalam masa 27 minit.
Terdahulu, perlawanan petang semalam menyaksikan beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut tersingkir di separuh akhir selepas dikecewakan oleh juara dunia tiga kali dan juara edisi 2019 dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 13-21, 19-21.
Beregu veteran Indonesia itu yang mendapat jolokan 'The Daddies' akan menentang beregu No.11 dunia dari China, Liu Yu Chen-Ou Yuan Yi di pentas final hari ini.
Beregu China itu mara ke final selepas mengalahkan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 22-20, 11-21, 21-19, pada separuh akhir.
-- BERNAMA
#BWF #Tan Kian Meng-Lai Pei Jing #Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia #Zheng Si Wei-Huang Qiong
;