Cabaran Malaysia kembali hangat di Paris 2024
Bernama
Ogos 8, 2024 08:00 MYT
Ogos 8, 2024 08:00 MYT
PARIS: Cabaran Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 kembali hangat pada hari ke-12 temasya dengan wira wirawati negara beraksi dalam empat jenis sukan hari ini.
Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan hampir mencipta sejarah untuk menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam sukan angkat berat, namun terpaksa berputih mata apabila terlepas podium dengan perbezaan satu kilogram (kg).
Mohamad Aniq menamatkan saingan di tempat keempat mencatatkan rekod kebangsaan baharu dengan angkatan keseluruhan 297kg iaitu 1kg mengatasi rekod kebangsaannya, berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat Hampton Morris yang melakukan angkatan 298kg (126kg, 172kg) di South Paris Arena 6.
Sementara itu, juara dunia keirin 2017 Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan cabaran dalam acara pecut berbasikal trek masing-masing di pusingan 1/8 dan 1/32 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni memulakan kempen di Paris 2024 dengan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 9.402s untuk menduduki tempat ke-10 pusingan kelayakan berbanding 9.523s dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai tahun lepas.
Pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut terlepas suku akhir acara keirin wanita apabila cabarannya berakhir pada pusingan pertama.
The Pocket Rocketman dan Muhammad Shah Firdaus seterusnya akan turun beraksi dalam acara utama mereka, keirin bermula Sabtu ini manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara pecut wanita bermula Jumaat.
Di Pusat Akuatik, penerjun berpengalaman Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke separuh akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita yang akan berlangsung hari ini (8 Ogos).
Atlet berusia 25 tahun itu bermula cemerlang pada dua terjunan pertama untuk menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-12 dengan mengutip 283.65 mata keseluruhan, dengan hanya 18 penerjun teratas mara ke pusingan seterusnya.
Pemain golf wanita, Ashley Lau pula membuka saingan pusingan pertama degan agak baik apabila melakukan par 72 untuk terikat di kedudukan ke-13 dengan 13 pemain lain.
Cabaran Malaysia pada Khamis akan diteruskan oleh Nur Dhabitah dan Ashley Lau pada pusingan kedua.
-- BERNAMA