Cabaran Eain Yow, Rachel di Hull berakhir pada pusingan ketiga

Bernama
Ogos 19, 2021 12:41 MYT
Eain Yow dan Rachel telah berusaha sehabis baik sewaktu berdepan lawan masing-masing. - Instagram
KUALA LUMPUR: Perjalanan dua pemain skuasy kebangsaan Ng Eain Yow dan Rachel Arnold dalam Terbuka British 2021 tamat pada pusingan ketiga pada aksi di Hull, England yang berakhir lewat malam tadi.
Dalam saingan lelaki, Eain Yow tampil bertenaga memberikan tentangan sengit berdepan pemain Colombia Miguel Rodriguez apabila berjaya bangkit pada set kedua dan keempat untuk mengheret aksi ke set terakhir, menurut laman web https://www.psaworldtour.com.
Pertembungan yang memakan masa 1 jam 41 minit itu akhirnya memihak kepada Rodriguez selepas melengkapkan kemenangan dengan keputusan 15-13, 11-13, 14-12, 8-11, 11-4 untuk melangkah ke pusingan suku akhir.
Pada masa sama, Rachel yang berada di ranking ke-43 dunia dan menjadi wakil tunggal negara beraksi di pusingan itu terpaksa akur dengan kehebatan pemain Mesir Nadine Shahin selepas tewas 8-11, 11-9, 11-9, 11-9 dalam masa 45 minit.
Terdahulu, seorang lagi pemain wanita skuasy kebangsaan S. Sivasangari ditunjukkan jalan keluar lebih awal selepas tewas 11-9, 2-11, 6-11, 8-11 di tangan pilihan keenam dari Amerikat Syarikat Amanda Sobhy pada pusingan kedua.
"Perasaan saya bercampur baur untuk kedua-dua pusingan, tetapi saya rasa sukan itulah yang membuatkan perasaan anda, pelbagai emosi!
"Secara keseluruhan, saya gembira dengan persembahan saya minggu ini dan mentaliti terus mendorong saya melaluinya. Perkara yang saya boleh lakukan sekarang adalah belajar daripada pengalaman ini," katanya menerusi ciapan dalam Twitter.
-- BERNAMA
#Skuasy #Ng Eain Yow #Rachel Arnold #terbuka british #Hull #England #pemain negara
;