Butler nafi bekerjasama dengan Beira-Mar
Astro Awani
Februari 11, 2013 10:55 MYT
Februari 11, 2013 10:55 MYT
Ketua jurulatih T-Team, Peter Butler menafikan telah berkerjasama dengan SC Beira Mar untuk memilih pemain tempatan beraksi ke kelab Portugal itu, musim depan.
Menurut Butler, gambaran yang diberikan Beira Mar hanya bersandarkan alasan adanya teman-temannya dari negara itu yang meminta beliau mencari pemain muda berpotensi untuk diketengahkan.
Jelas Butler, kelab terbabit turut melahirkan rasa kecewa kepadanya dengan kepulangan mengejut Nazmi Faiz Mansor.
Namun, tegas Butler itu hanya perbualan biasa dan tidak ada sebarang perjanjian untuk mendapatkan pemain lain untuk bersama kelab tersebut.
Tambah bekas pengendali Kelantan dan Terengganu itu, tanggungjawabnya kini ialah kepada pasukan T-Team.
Butler turut mengakui jika benar dia akan memilih pemain untuk dihantar ke luar negara, ia bukan untuk kontrak tetapi sekadar untuk membantu memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman.
Ini kerana, ujarnya beliau tidak mahu insiden seumpama Nazmi berulang dan akan memalukan pemain dan negara ini.
Pada Sabtu, Astro Awani mendedahkan kelab terbabit sedang berkerjasama dengan Butler untuk membawa beberapa pemain ke Portugal.