Buruh asing teruja tonton perlawanan pertama Piala Dunia
Agensi
November 21, 2022 20:00 MYT
November 21, 2022 20:00 MYT
DOHA: Ribuan pekerja asing muncul untuk menonton perlawanan pertama Piala Dunia FIFA 2022 antara Qatar dan Ecuador di Zon Peminat Kawasan Perindustrian Doha, pada Ahad.
Kebanyakannya dari Asia Selatan iaitu India, Bangladesh, Pakistan dan Nepal, serta beberapa negara Afrika, yang membantu membina infrastruktur yang membolehkan Piala Dunia berlangsung.
Ada yang tiba dengan pakaian kerja dan hadir di situ selepas tamat waktu kerja. Yang lain pula memanfaatkan hari cuti, dan ada juga yang meminta izin majikan untuk 'ponteng' sehari bagi menyaksikan perlawanan itu.
Walaupun terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Doha, keterujaan tetap dirasakan dalam kalangan peminat bola sepak di situ, yang merupakan penempatan buruh asing di Qatar.
"Saya berada di sini, sudah pasti sangat teruja," kata Muhammad Hossein, 45 tahun dari Bangladesh.
Hossein antara buruh yang bekerja keras membina stesen Metro di Doha, dan dia kini bekerja sebagai pekerja pembersih.
Tambahnya, menjadi sebahagian daripada Piala Dunia adalah perkara yang signifikan apatah lagi kerana ini adalah kali pertama negara Islam menjadi tuan rumah.
Walaupun negaranya adalah salah satu kuasa besar kriket, Hossein berkata dia tidak menjangka Bangladesh akan memperoleh kedudukan sama dalam bola sepak antarabangsa, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.
Qatar, yang mempunyai populasi hanya kira-kira 2.8 juta orang, menjadi negara Asia Barat dan Islam pertama yang diberi hak sebagai tuan rumah Piala Dunia.
Mereka berdepan kesukaran untuk melakukan persiapan dan terpaksa bergantung kepada tenaga buruh dari luar negara.