Burnley harus jadi pasukan digeruni - Hart
Astro Arena
September 17, 2018 09:58 MYT
September 17, 2018 09:58 MYT
PENJAGA gol Burnley, Joe Hart, menggesa pasukannya agar mempamerkan persembahan yang menghadirkan rasa gerun buat lawan setelah tewas 1-0 di tangan Wolverhampton Wanderers, semalam.
Skuad The Clarets mencipta kejutan pada musim lalu, apabila menduduki tangga ketujuh liga dan layak ke pentas Liga Europa.
Namun, mereka gagal melangkah ke peringkat kumpulan dan kekecewaan itu tampak memberi kesan kepada aksi pasukan di peringkat domestik.
Kekalahan semalam bermakna Burnley hanya mengutip satu mata daripada lima perlawanan, sekali gus mencatat permulaan terburuk sejak 1927, di mana mereka tewas lima kali.
Keputusan jelas tidak memihak Burnley dan ia mampu jadi lebih teruk seandainya Hart tidak mempamerkan aksi cemerlang.
"Kami agak tertekan. Wolves beraksi dengan baik. Banyak perkara yang akan hadir dan perlu kami lakukan. Ia seperti melihat ke cermin dan meneruskan cabaran," katanya.
"Kami harus fokus. Seluruh pasukan perlu kembali kepada Burnley sebelum kehadiran saya, iaitu pasukan yang tidak mahu dihadapi oleh lawan.
"Kami harus percaya antara satu sama lain. Burnley memiliki kualiti dan keinginan yang baik. Kami mempunyai semangat tinggi tetapi perlu menterjemahkannya."
Sementara itu, pengendali Wolves, Nuno Espirito Santo, menerima pasukannya yang banyak melepaskan peluang di depan gol, sebelum jaringan Raul Jimenez pada minit ke-61 memberikan perbezaan.
Bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan dominasi yang ditampilkan.
"Saya sangat berpuas hati. Kami bermain bola sepak yang menarik dan amat tersusun serta mencipta peluang. Burnley adalah pasukan yang baik dan kekal sebegitu sehingga akhirnya," kata Nuno.
"Kami harus menjadi lebih tajam tetapi jika kami terus mencipta banyak peluang, ia membuatkan saya bangga.
"Selepas menjaringkan gol, kami memberi banyak ruang. Namun, kami kekal tidak dibolosi dan itu yang penting buat kami. Ia akan hadir secara semulajadi."