Bukti keyakinan, Mercedes dan Petronas teruskan kerjasama bermula 2026
Faris Danial Razi
September 28, 2022 17:34 MYT
September 28, 2022 17:34 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun perjanjian kerjasama berbaki kira-kira empat tahun lagi, Pasukan Mercedes AMG Formula1 pada Rabu menyatakan komitmen dengan memperbaharui kerjasama dengan syarikat Petronas bermula 2026.
Ini sekali gus membuktikan keyakinan daripada kedua-dua belah pihak atas kejayaan yang dilakar selama ini, dengan Mercedes mencipta kemenangan pertama sejak bekerjasama dengan Petronas.
Meskipun Lewis Hamilton dan George Russell masih tidak dapat menjuarai perlumbaan musim ini yang berbaki enam pusingan lagi, usaha yang diterajui pada hari ini sebenarnya menyahut cabaran menarik dalam membangunkan penetapan standard 100 peratus bahan api mampan termaju untuk peraturan unit kuasa 2026.
“Hari ini kami melakukan sesuatu yang agak luar biasa iaitu mengumumkan kerjasama yang akan bermula dalam masa empat tahun," jelas Prinsipal pasukan Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.
“Ini menghantar mesej penting bahawa pasukan kami dan PETRONAS bukan lagi sekadar rakan kongsi, kami adalah keluarga, dan kami akan menjadi satu pasukan untuk beberapa tahun lagi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, ini membuktikan keyakinan bersama kedua-dua pihak bahawa sinergi dan cita-cita kedua-dua pihak akan memberikan laluan dalam menyediakan tenaga yang lebih mampan kepada sukan dan pelanggan.
"Petronas berharap dapat melakar pencapaian yang akan dengan memberi tumpuan kepada bahan api mampan termaju untuk Mercedes dan pasukan.
“Kami akan terus membawa Fluid Technology Solutions lebih ke hadapan melalui tawaran inovatif. Aspek kemampanan begitu dekat dengan hasrat kami dalam menuju ke arah masa depan rendah karbon,” tambahnya.
Bermula 2026, sukan F1 telah menetapkan cabaran paling ketara dengan cita-citanya untuk berlumba ke arah masa depan yang lebih mampan.
Dengan sasaran 50 peratus menggunakan tenaga elektrik unit kuasa dan pembangunan 100 peratus bahan api mampan termaju yang berkaitan jalan raya, peraturan baharu itu memerlukan penyelesaian inovatif untuk menerajui era sukan yang akan datang.
Untuk rekod, Mercedes dan Petronas telah memulakan kerjasama sejak 2010 dengan dengan 115 kemenangan Grand Prix dan lapan kejuaraan pembina setakat ini.