Bukayo Saka tercicir lapor diri kem England

Astro Arena
Oktober 9, 2023 09:20 MYT
Bukayo Saka terhincut-hincut ketika Arsenal tumbang di Lens pertengahan minggu lalu selain dikeluarkan dalam kunjungan ke Bournemouth hujung minggu lalu. - Foto Astro ARENA
BUKAYO Saka tidak akan menyertai skuad England untuk tugasan antarabangsa minggu depan, demikian dedah pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Saka terlepas kemenangan 1-0 The Gunners ke atas Manchester City, awal pagi tadi, berikutan dibelenggu masalah hamstring dalam perlawanan baru-baru ini.
Ketiadaan Saka menamatkan rekodnya untuk muncul dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-87 berturut-turut dan Arteta berhasrat anak buahnya itu diketepikan untuk perlawanan menentang Australia dan Itali.
"Tidak, dia tidak akan sempat pulih," kata pengurus The Gunners itu.
“Dia tidak dapat berlatih untuk satu sesi pun. Dia tidak dibenarkan beraksi buat masa ini.”
Pemain sayap berusia 22 tahun itu terhincut-hincut ketika Arsenal tumbang di Lens pertengahan minggu lalu selain dikeluarkan dalam kunjungan ke Bournemouth hujung minggu lalu.
Pengurus England, Gareth Southgate, pula pada Jumaat lalu menyatakan bahawa dia tidak akan mengambil risiko terhadap pemain lincah berkenaan menjelang pertemuan getir dengan Itali.
#Bukayo Saka #England #EPL #Mikel Arteta
;