"Bukan sekadar kawan, tetapi keluarga" - Chong Wei sebak pemergian Ah Gan

Faida Rahim
Ogos 5, 2023 22:08 MYT
Jelas Chong Wei, mendiang bukan sekadar teman seperjuangan dalam sukan badminton malah dianggap keluarga dalam hidupnya. - FB Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton dalam acara beregu lelaki, Gan Teik Chai meninggal dunia pada Sabtu.
Berita itu dikongsikan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei di media sosialnya.
“Dengan berat hati dan pilu saya berkongsi berita pemergian teman rapat saya, Gan Teik Chai yang saya panggil Ah Gan.
"Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kesedihan mendalam yang saya rasai sekarang. Saya memutarkan berulang kali, mesej suara yang ditinggalkan yang mana dia bersetuju menyertai saya di gelanggang minggu depan. Kini perlawanan dengan Ah Gan tidak akan menjadi kenyataan,” jelasnya dalam catatan itu.
Tambah Chong Wei, mendiang bukan sekadar teman seperjuangan dalam sukan badminton malah dianggap keluarga dalam hidupnya.
“Saya bersyukur dengan banyak kenangan yang kita kongsi bersama. Kami berkenalan sejak berusia 12 tahun. Daripada kelas hingga ke latihan dan kejohananan, setiap saat bersama Teik Chai dipenuhi dengan gelak tawa, kegembiraan dan kasih sayang tanpa syarat,” katanya.
Bekas pemain berusia 40 tahun itu pernah memenangi gelaran beregu lelaki pada kejohanan Antarabangsa Perancis 2004 gandingan dengan Koo Kien Keat dan kejohanan Grand Prix Terbuka Australia 2009 bergandingan dengan Tan Bin Shen.
Mendiang juga pernah bergandingan dengan Ong Soon Hock dan memenangi kejohanan Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) BWF 2012 di Mauritius, Argentina dan Brazil.
#badminton #BWF #Lee Chong Wei #Gan Teik Chai
;