Bukan mustahil 'Pocket Rocketman' bangkit raih emas Olimpik di Paris

Bernama
Oktober 4, 2022 19:19 MYT
Di sebalik faktor usia dan sejarah kesihatannya, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, masih berpeluang kembali ke tahap prestasi terbaik dan menghadiahkan emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik 2024 di Paris. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Di sebalik faktor usia dan sejarah kesihatannya, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, masih berpeluang kembali ke tahap prestasi terbaik dan menghadiahkan emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Keyakinan itu dilontarkan bekas rakan sepasukannya Mohd Rizal Tisin, dengan menggariskan aspek mental adalah elemen utama perlu diberi perhatian Mohd Azizulhasni, tatkala juara dunia 2017 menerusi acara keirin itu bakal menginjak usia 36 tahun pada 2024.
Menurut bekas atlet berbasikal trek negara berusia 38 tahun itu, antara cabaran hebat menanti Mohd Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' ialah menempuh pusingan kelayakan Olimpik dan berusaha keras dalam sesi latihan, bagi mencapai prestasi optimum pada masa yang sama.
"Cabaran utama saya lihat dari segi mental, kerana di usianya semuanya berkait dengan mental dan motivasi. Jadi sistem sokongan pun antara yang terpenting dari segi penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara).
"Pusingan kelayakan hari ini tak sama macam dulu yang peluang layak lebih cerah, dengan keadaan semasa dan tahap kesihatannya, saya rasa dia mungkin kena lakukan dua kali ganda segala-galanya yang pernah dibuat sebelum bersaing dalam tiga edisi Olimpik sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Mohd Rizal berkata apa yang perlu dilakukan Mohd Azizulhasni dalam tempoh setahun ini, ialah memberikan lebih tumpuan kepada pusingan kelayakan bagi mengutip seberapa banyak mata, untuk melayakkan beliau beraksi di Paris.
Ini kerana, selepas lama tidak beraksi, kedudukan Mohd Azizulhasni dalam ranking dunia sudah pasti terperosok ke bawah, dan sekiranya perkara itu tidak ditangani dari awal ia bakal menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari.
"Kalau ikut peraturan, untuk beraksi di Olimpik satu negara satu atlet bagi acara keirin dan pecut, untuk cerahkan peluang Malaysia (dua pelumba) kena layak untuk acara pecut berpasukan...tetapi acara itu agak susah untuk kita sekarang ini," katanya.
Berdasarkan ranking dunia ketika ini, Mohd Azizulhasni menghuni kedudukan ke-281 dalam acara keirin dan berada di posisi ke-479 bagi pecut, menurut https://dataride.uci.ch/iframe/Rankings/9/.
Rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di kedudukan ke-14 dalam keirin dan tempat ke-32 dalam pecut, manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis ke-38 dalam senarai pelumba keirin.
Mohd Rizal merupakan rakan sepasukan Mohd Azizulhasni dan Josiah Ng, yang menamatkan cabaran Malaysia dalam acara pecut berpasukan di kedudukan ketujuh pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008.
Mohd Azizulhasni yang merangkul pingat perak keirin pada Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa dalam acara sama pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kini baru memulakan latihan selepas menjalani fasa pemulihan hampir enam bulan susulan pembedahan jantung terbuka pada April lepas.
Disebabkan masalah jantung dialaminya, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu turut terlepas peluang membuat penampilan di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Bagaimanapun, baru-baru ini Olahragawan Kebangsaan 2009, 2010, 2017 dan 2019/2020 itu mengakui, semangatnya masih membara untuk menyempurnakan matlamatnya iaitu memenangi emas Olimpik sulung negara di Paris.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #pocket rocketman #jaguh berbasikal #pingat emas #olimpik paris #Mohd Rizal Tisin
;