Bukan calang-calang lawan, Jordan tak pandang mudah pertemuan dengan Qatar
Bernama
Februari 9, 2024 23:54 MYT
Februari 9, 2024 23:54 MYT
DOHA: Ketua jurulatih Jordan Hussein Ammouta meramalkan pasukan itu bakal berdepan tugas berat menentang juara bertahan Qatar di Stadium Lusail malam esok.
Meskipun anak buahnya mencipta kejutan menumbangkan dua bekas juara iaitu Iraq dan Korea Selatan pada pusingan kalah mati, Ammouta tidak sama sekali memperkecilkan kehebatan Qatar yang disifatkannya sebagai pasukan yang sangat baik dan sukar ditewaskan.
Beliau berkata hal itu terbukti apabila Qatar yang diberi julukan The Maroons di ambang memenangi gelaran kedua berturut-turut, satu pencapaian yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan sejak Jepun muncul juara edisi 2000 dan 2004.
"Qatar ialah juara bertahan dan bermain di laman sendiri, pasukan yang liat ditewaskan, kita sudah lihat pada final 2019 yang sengit dan mereka sangat kuat. Kejayaan mereka sehingga hari ini disebabkan sokongan yang kuat daripada pihak persatuan.
"Mereka melabur duit yang banyak dan memberikan sokongan sepenuhnya sehingga menjadi pasukan yang berpotensi besar. Susah nak jumpa pasukan yang menang dan akan mempertahankan kejuaraan pada edisi seterusnya," kata pengendali dari Maghribi itu pada sidang media sebelum perlawanan di sini, hari ini.
Walaupun memuji kehebatan Qatar, Ammouta berkata Jordan tetap akan meneruskan perjuangan mereka dalam usaha memahat sejarah baharu buat The Chivalrous dengan merangkul gelaran sulung.
"Kami sudah melangkah sejauh ini dan mahu menamatkannya dengan kejayaan...kami mempunyai skuad yang baik walaupun ada pemain yang cedera ringan tetapi semua sudah bersedia," katanya yang melihat aksi esok sebagai perlawanan "keluarga Arab".
Sementara itu, pemain pertahanan Salem Al Ajalin berkata rakan sepasukannya berikrar untuk membanggakan ahli keluarga masing-masing dan rakyat Jordan.
"Kami tahu perlawanan dengan Qatar akan jadi sengit tetapi kami akan cuba beri yang terbaik untuk membuatkan peminat kami bangga. Mereka adalah sebab kejayaan kami mara sejauh ini," kata pemain berusia 35 tahun itu.
Sebagai juara bertahan dan beraksi di laman sendiri, Qatar mempunyai matlamat penting iaitu memenangi gelaran kedua berturut-turut di samping tidak mengecewakan peminat tempatan, manakala Jordan yang kali pertama menjejakkan kaki di final kini sangat bermotivasi untuk mengecap kejuaraan.
-- BERNAMA