Budaya segalanya percuma harus dihentikan - Penganalisis sukan

Faida Rahim
Februari 16, 2023 11:54 MYT
HARESH DEOL: Jika kita mula meletakkan perlawanan secara percuma di YouTube, siapa yang akhirnya mendapat manfaat? YouTube yang dapat manfaatnya. Wang itu tidak akan disalurkan kepada industri bola sepak. -Instagram Haresh Deol
KUALA LUMPUR: Budaya menyiarkan perlawanan secara percuma perlu diubah demi kemajuan sukan di negara ini.
Bagi editor dan penganalisis sukan Haresh Deol, budaya segalanya percuma tidak menyumbang kepada kemajuan industri dan ekosistem bola sepak.
“Saya tahu apabila penyiar baharu diumumkan, ada sesetengah orang berkata 'oh kami tidak akan dapat menonton perlawanannya di Youtube'.
"Soalan saya di sini, jika kita mula meletakkan perlawanan secara percuma di YouTube, siapa yang akhirnya mendapat manfaat? YouTube yang dapat manfaatnya.
“Wang itu tidak akan disalurkan kepada industri bola sepak.
"Saya faham peminat dan penonton yang akan dapat manfaat sekiranya ditonton di YouTube secara percuma.
"Tetapi saya berfikir, budaya semuanya percuma harus berakhir dalam sesetengah keadaan,” katanya dalam sebuah temu bual podcast di saluran BFM.
Kenyataan itu susulan dakwaan segelintir penggemar sukan bola sepak yang dilapor kecewa apabila siaran musim baharu Liga-M 2023 tidak dimuat naik di saluran YouTube apabila stesen televisyen Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diumum sebagai rakan penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga-M) 2023.
Berkongsi pengalaman peribadi, Haresh memberitahu ketika berada di Thailand, dia terkejut apabila melihat tujuh dekoder di sebuah restoran.
“Anda akan terkejut apabila menonton beberapa liga memerlukan beberapa dekoder berbeza kerana beberapa syarikat bertindak sebagai penyiar rasmi.
“Bayangkan untuk menonton beberapa liga anda memerlukan beberapa dekoder daripada pembekal yang berbeza. Situasi sama juga di Singapura apabila liga disiarkan oleh beberapa penyiar berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Haresh yang meletakkan kepercayaan tinggi dengan dua penyiar rasmi itu percaya peminat bola sepak sanggup mengeluarkan wang untuk menonton secara langsung kerana wang yang disalurkan itu akan kembali kepada industri dan ekosistem bola sepak.
“Sama ada anda suka atau sebaliknya, kita akui dua penyiar ini memiliki rekod prestasi pengalaman terbaik dalam menyiarkan perlawanan sukan yang mana perkhidmatan mereka terbukti dipercayai,” katanya.
#bola sepak #Liga Malaysia #YouTube #Haresh Deol
;