Buat tarian Haka untuk penaja, AC Milan dikritik 'jual' integriti bola sepak
Madiha Abdullah
April 24, 2016 08:46 MYT
April 24, 2016 08:46 MYT
KITA biasa melihat pasukan ragbi mempersembahkan tarian haka sebelum memulakan perlawanan.
Tetapi siapa sangka, tarian haka kini juga dipersembahkan oleh pasukan bola sepak.
Itu yang terjadi dalam perlawanan AC Milan menentang Capri di Stadium San Siro 21 April lalu.
Persembahan itu dilakukan oleh 11 pelakon yang berpakaian jersi AC Milan, dan dilakukan sebagai salah satu tanggungjawab promosi mereka untuk penaja mereka, Nivea.
Video: YouTube FootballHDTV
Biarpun tidak membabitkan pemain AC Milan, ia tetap dianggap sesuatu yang memalukan oleh peminat bola sepak seluruh dunia.
Haka merupakan tarian tradisi pasukan ragbi New Zealand, yang dipersembahkan sebagai simbol semangat pertarungan.
Namun apabila dilakukan dalam perlawanan bola sepak, ia dilihat janggal dan pelik.
Malah ada juga yang menyifatkan apa yang dilakukan kelab gergasi Itali itu sebagai satu petanda hilangnya integriti sukan dalam bola sepak.
Masakan tidak, ia dilakukan atas sebab mengikut arahan penaja.
Kritikan yang diterima netizen dan penyokong itu memaksa syarikat pengeluar Nivea, Beiersdorf, mengeluarkan permohonan maaf.
"Kami tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku dalam perlawanan itu, tetapi kami minta maaf jika ia menyinggung mana-mana pihak," kata Pengarah Urusan Beiersdorf Australia, Clynton Bartholomeusz.
Perlawanan tersebut menyaksikan AC Milan seri tanpa jaringan dengan Capri.