Bual Bola: Saat getir buat pengurus bola sepak fantasi Euro 2016

Ian Johan Ariff
Julai 6, 2016 08:58 MYT
Pengurus bola sepak fantasi perlu memilih pemain yang diramal akan ke akhir jika mahu terus mengutip mata dan berjuang sehingga ke akhir.
KEJOHANAN Euro 2016 sudahpun sampai ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada jam 3 pagi, 7 dan 8 Julai ini (waktu Malaysia).
Pertemuan Jerman dengan Perancis serta Portugal menentang Wales sudah pasti menjadi tumpuan ramai, terutama sekali pengurus bola sepak fantasi.
Bagi pengurus bola sepak fantasi di Stadium Astro, ini merupakan peringkat yang paling sukar kerana ramalan yang salah akan membawa padah.
Dalam permainan fantasi di laman web Stadium Astro, hanya lima perpindahan diberikan untuk peringkat separuh akhir dan akhir.
Pengurus bola sepak fantasi perlu memilih pemain yang diramal akan ke akhir jika mahu terus mengutip mata dan berjuang sehingga ke akhir.
Jika pemain yang dipilih tidak mara ke akhir, tiada lagi mata yang bakal dikutip pada perlawanan akhir buat pengurus tersebut.
Dengan pendahuluan yang tidak begitu jauh antara 20 pasukan terbaik, pemilihan pengurus-pengurus tersebut mestilah tepat.
Kita lihat ranking 20 pasukan terbaik permainan bola sepak fantasi di Stadium Astro.
Gumball FC mempunyai 400 mata selaku pendahulu liga fantasi Stadium Astro, hanya 12 mata dihadapan pencabar terdekat RL Team.
Kesemua pengurus pasukan belum membuat sebarang pertukaran pemain, kemungkinan besar mengatur percaturan terbaik dan juga menunggu penamaan pemain sejam sebelum sepak mula separuh akhir pertama antara Jerman dan Perancis.
Mereka mempunyai pilihan sama ada untuk memilih terus pemain yang diramal akan beraksi di perlawanan akhir ataupun membahagikan senarai pemain yang mungkin menyerlah pada separuh akhir dan akhir.
Kita lihat pula senarai pasukan saya, yang jauh ketinggalan dengan 20 pasukan terbaik di Stadium Astro.
Saya mempunyai lima pemain yang sudahpun tersingkir dari kejohanan iaitu Giaccherini (Itali), Hazard (Belgium), Lukaku (Belgium), Jordi Alba (Sepanyol) dan Srna (Croatia).
Saya boleh gantikan kesemua pemain dengan pemain yang beraksi di separuh akhir namun mereka mungkin terkandas di peringkat itu dan tidak beraksi di final.
Walaupun mata saya jauh berbanding 20 pasukan terbaik, saya masih lagi berjuang untuk mengatasi rakan setugas lain seperti Kamarul Bahrin Haron, Israr Khalid, Hafiz Marzukhi dan juga pemain lain dari Astro AWANI.
Tiada lagi keputusan memilih pemain yang selamat kerana kita tahu pelbagai kejutan sudah berlaku dalam kejohanan ini.
Apapun kita tahu sekarang ramalan burung unta, Chickaboo dalam episod empat Obviously Harith Iskander bahawa Itali akan menang juga sudah meleset.
Siapakah pemain pilihan anda dan kapten pasukan bagi setiap perlawanan separuh akhir nanti?
Kongsikan di Twitter dengan #bualbola dan pastikan anda menonton sorotan perlawanan separuh akhir Euro 2016 pada 7:25 pagi pada 7 dan 8 Julai ini.
#bola sepak fantasi #Bual Bola #Euro 2016 #stadium astro
;