Bruno Fernandes nafi tenggelam perlawanan besar

Astro Arena
Mac 7, 2021 10:28 MYT
Bruno Fernandes (kiri) dan pemain Crystal Palace James McCarthy berebut bola ketika perlawanan EPL di Stadium Selhurst Park, London, England, 3 Mac, 2021. (Foto AP)
PEMAIN tengah Manchester United, Bruno Fernandes, mempertahankan prestasinya ketika menentang 'enam pasukan terhandal' menjelang 'derby' bertemu Manchester City, tengah malam ini.
Fernandes menjadi nadi di Old Trafford sejak dipancing daripada Sporting CP pada Januari tahun lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu telah menyumbangkan 15 gol dan memberikan 10 bantuan jaringan dalam 27 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, namun gawang Tottenham muncul satu-satunya dalam kalangan enam pasukan teratas' yang berjaya dirobeknya iaitu sepakan penalti pada 6 Oktober lalu yang berakhir dengan kekalahan 1-6.
Justeru, The Red Devils menagih sentuhan berbisa Fernandes ketika menghadapi pendahulu EPL itu di Stadium Etihad.
Tetapi dalam masa sama, pemain antarabangsa Portugal itu menganggap adalah tidak adil untuk melabelnya tenggelam sebaik berdepan lawan yang lebih ampuh.
Dia berkata kepada Sky Sports: "Saya tidak tahu apa maksud orang ramai dengan enam pencabar utama memandangkan kami di kedudukan enam teratas liga. Saya menyumbat gol dan mencipta bantuan jaringan ketika menentang beberapa pasukan itu.
"Saya juga meledak gol ketika menentang Tottenham musim ini tetapi beberapa orang menganggap sepakan penalti tidak dikira!
"Saya tahu orang menjangkakan Bruno akan menjaringkan gol atau mencipta peluang dalam setiap perlawanan berikutan sebaik saya tiba di sini, saya beraksi dengan sangat baik. Sekiranya anda melihat statistik saya, semua orang akan berfikir bahawa Bruno harus mencetak gol dalam setiap perlawanan, Bruno harus mencipta bantuan jaringan dalam setiap permainan.
"Saya mahu meneruskannya -- ini adalah perkara paling penting. Tetapi sebagai pemain, saya tidak hanya menyasarkan enam perlawanan getir atau saingan yang lain. Saya mendekati setiap perlawanan dengan cara yang sama.
"Dan saya fikir liga bukanlah tempat untuk memecut, ia seperti maraton. Oleh itu, anda tidak semestinya melakar jaringan mahupun menang ketika menentang enam pencabar utama -- anda harus menjaringkan gol dan menang ke atas semua pasukan.
"Saya terdengar orang bercakap tentang Bruno tidak beraksi baik ketika berdepan enam pasukan utama. Orang mengatakan Bruno kerap kehilangan bola ketika kami tewas dalam satu perlawanan.
"Sebaliknya ketika menentang Basaksehir, saya menjaringkan dua gol tetapi saya lebih kerap kehilangan bola tetapi orang pula mengangkat saya sebagai pemain terbaik dalam perlawanan itu. Jadi, apa gunanya?"
United akan menghadapi The Cityzens yang kini di kemuncak prestasi dan selepas tiga kali seri berturut-turut tanpa gol dalam perlawanan terakhir, Fernandes sedar bahawa dia belum mencapai tahap terbaik.
"Saya setuju dalam dua perlawanan terakhir, saya tidak beraksi dengan baik. Saya tidak perlu melihat statistik untuk mengetahui sama ada saya beraksi dengan baik atau tidak. Saya menyedarinya sendiri." katanya.
"Saya melihat wawancara daripada Luke (Shaw) yang mengatakan, 'orang sekarang lebih mementingkan statistik daripada persembahan'. Ia adalah satu kebenaran. Ini kerana ketika ini mereka mengharapkan saya menggegar gawang mahupun mencipta bantuan gol, dan bukan mutu persembahan semata-mata.
"Mereka tidak peduli dengan prestasi Bruno, mereka tidak peduli dengan bola yang dirampas semula atau berapa banyak peluang yang saya ilhamkan kerana jika saya dapat mencipta 10 peluang sekalipun tapi masih gagal memanfaatkannya, orang akan tetapi mengatakan Bruno tidak beraksi dengan cukup baik.
"Tetapi ini adalah bola sepak. Bola sepak sedang berlaku. Beberapa orang ada menganggap saya beraksi buruk jadi saya harus melakukan yang lebih baik lagi.
"Dan saya mengakuinya kerana kami sering mampu melakukan yang lebih baik lagi. Tetapi bagi saya, tidak mengapa. Saya mampu menggalas beban ini.
"Saya yakin mampu menyumbangkan gol, mencipta bantuan jaringan dan menonjol. Ia akan membantu rakan sepasukan saya untuk memenangi perlawanan."
#Manchester United #Bruno Fernandes #Liga Perdana Inggeris #bola sepak #Manchester City #tidak adil #tenggelam
;