Brunei cipta sejarah raih emas SUKMA selepas 10 tahun
Bernama
Ogos 16, 2024 08:00 MYT
Ogos 16, 2024 08:00 MYT
KUCHING: Atlet wushu Walid Lachkar mengukir sejarah tersendiri apabila muncul penyumbang pingat emas pertama kontinjen Brunei di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2014 di Perlis.
Pada SUKMA 2014, Brunei membuat kejutan apabila memenangi pingat emas menerusi Md Izzuddin Irfan Md Faizal dalam acara kumite lelaki lebih 84 kilogram (kg), menewaskan wakil Johor Julius Goh 9-2.
Walid, 19, tampil dengan gerakan tangkas dan kemas dalam acara daoshu di Dewan Wushu SSC di sini, berjaya memikat hati juri untuk menghadiahkan mata tertinggi 9.613 mengetepikan 18 peserta lain sekali gus mengesahkan kemenangan bersejarah buat Brunei.
Lebih manis, pingat emas yang diraih semalam adalah yang pertama buat kem wushu Brunei di pentas SUKMA.
"Sudah tentu saya sangat gembira kerana bukan saja menang emas pertama Brunei di SUKMA 2024 tapi juga dalam skuad wushu Brunei di SUKMA.
"Memandangkan wushu acara pertama kami, saya berharap acara lain juga akan beraksi dengan baik begitu juga untuk rakan sepasukan saya yang akan turun bertanding esok. Saya juga berharap semua atlet Brunei menunjukkan prestasi terbaik mereka," katanya kepada Bernama di sini.
Pingat perak acara itu menjadi milik atlet Melaka, Ronn Lee yang meraih 9.593 mata dan Kwan Yin Jie dari Wilayah Persekutuan memperoleh gangsa selepas mengutip 9.590 mata.
Brunei merupakan kontinjen jemputan dalam temasya sukan dwitahunan kebangsaan yang memasuki edisi ke-21 kali ini.
Sementara itu, atlet Melaka Wong Kai Xin merangkul emas acara daoshu wanita dengan kutipan mata 9.600 diikuti wakil Pulau Pinang Coleen Cheah Weiqi yang meraih perak (9.586 mata) dan Lee Jia Rong dari Johor memungut 9.520 mata untuk gangsa.
Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula semalam.
-- BERNAMA