Brighton teruja terlibat dalam perlawanan terpenting EPL musim ini
Ian Johan Ariff
Mei 11, 2019 16:58 MYT
Mei 11, 2019 16:58 MYT
PENGURUS Brighton and Hove Albion, Chris Hughton teruja pasukannya terlibat dalam perlawanan terahir Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dianggap terpenting penentu kejuaraan.
“Motivasi kami pada perlawanan Ahad ini adalah mudah, saya gembira kelab ini bermain dalam saingan besar pada perlawanan terakhir musim ini,” kata Hughton dalam sidang media pada Sabtu.
“Mereka (Manchester City) mempunyai ramai pemain yang bahaya, anda tidak boleh mengetepikan seorang pun kerana setiap pemain mereka berkualiti”
Hughton menambah, pasukannya menentang kelab yang terbaik dan berdasarkan pengalaman beraksi menentang City, anak buahnya perlu sekurang-kurangnya mencapai tahap yang sama seperti sebelum ini untuk mendapat keputusan yang positif.
Brighton akan menerima kunjungan juara bertahan, Man City di Stadium AMEX pada jam 10 malam Ahad.
City menang semua pertemuan musim ini menentang Brighton namun dengan jumlah jaringan yang kecil.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Etihad dalam saingan Piala FA, jaringan awal Gabriel Jesus pada minit ke-4 sudah memadai untuk City mara ke final.
Semangat juang luar biasa akan dibawa Brighton menentang City nanti kerana ia bukan sahaja perlawanan terakhir buat the Seagulls musim ini, malah yang terakhir buat ketua pasukan, Bruno Saltor.
Bruno, 38 tahun mengumumkan persaraannya pada Jumaat dan berharap dapat mencipta satu yang akan diingati penyokong pasukan itu dalam perlawanan yang terakhir itu nanti.
Sementara pertahanan mereka, Shane Duffy mahu rakan sepasukannya memberikan persembahan yang membanggakan buat penyokong pada Ahad menentang City.
#Brighton
#Bruno
#Chris Hughton
#EPL
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester City
#Shane Duffy
#Stadium Amex
#Stadium Etihad