Brendan cukup berbangga sarung jersi Selangor FC

Astro Arena
Oktober 2, 2022 05:30 MYT
Kem Selangor kini semakin positif selain persaingan sihat memancing kepercayaan jurulatih baharu mereka. - Astro ARENA
NADA kebanggaan untuk menyarung jersi merah kuning di bawah kendalian Tan Cheng Hoe disuarakan kapten pasukan, Brendan Gan, yang mengakui kem Selangor kini semakin positif selain persaingan sihat memancing kepercayaan jurulatih baharu mereka.
Brendan turut menjelaskan rahsia taktikal yang ditekankan Cheng Hoe sepanjang sesi latihan rasmi bersama pasukan, menjadi kunci utama kejayaan mempamerkan aksi lima bintang.
Selepas pertukaran posisi ketua jurulatih sebanyak tiga kali musim ini, Selangor kembali bernafsu merekodkan antara kemenangan terbesar kempen kali ini.
"Setiap kali jurulatih baru dilantik, setiap pemain berusaha untuk menampilkan sesuatu kepadanya. Kami telah melatih corak permainan yang diterapkan Cheng Hoe dan kami menampilkannya dalam perlawanan ini," kata Brendan.
"Saya yakin dengan gaya permainan Cheng Hoe ini mampu memastikan penghujung musim yang baik buat pasukan."
"Saya berasakan amat yang cuba diketengahkan oleh Cheng Hoe untuk pasukan Selangor telah mula memberikan hasil dan apa yang mahu dibuat oleh barisan pemain, ia sesuatu yang cukup baik dan positif, saya sendiri cukup gembira beraksi dalam perlawanan ini," kata pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal. - Stadium Astro
#Tan Cheng Hoe #brendan gan #Selangor FC #bola sepak
;