Brazil perjuang kempen antiperkauman
Sinar Harian
Jun 18, 2023 12:45 MYT
Jun 18, 2023 12:45 MYT
BRAZIL tidak memakai jersi utama kuning dan hijau mereka sebaliknya mengenakan jersi serba hitam untuk mempromosikan kempen menentang antiperkauman ketika kemenangan 4-1 ke atas Guinea dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Ahad.
Ia sebagai sokongan kepada penyerang mereka, Vinicus Junior yang bermain untuk Real Madrid apabila menjadi mangsa ejekan perkauman ketika beraksi di LaLiga.
Konfederasi Bolasepak Brazil melakukan inisiatif itu dengan disertai slogan "Com racismo nao tem jogo" (Dengan perkauman, tiada perlawanan).
Pemain tengah Newcastle United, Joelinton, yang membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa, membuka jaringan pada minit ke-26 dengan penyudah jarak dekat.
Rodrygo mengukuhkan kedudukan lima minit kemudian dengan rembatan yang tidak mampu untuk diselamatkan selepas membuat larian di sebelah kanan.
Guirassy Serhou mengambil kesempatan di atas kegoyahan pertahanan Brazil dengan meledak gol untuk cuba merapatkan kedudukan selepas berpunca daripada serangan balas pantas.
Bagaimanapun, Militao terus mengukuhkan kedudukan Brazil hasil jaringan melalui tandukan dan Vinicius mengesahkan kemenangan apabila menyempurnakan penalti empat minit sebelum perlawanan tamat.
Selepas ini Brazil akan berdepan Senegal di Lisbon Rabu depan. - Sinar Harian