Brazil di bawah Dunga tidak akan ke mana-mana

Astro Arena
Jun 28, 2015 14:58 MYT
Jika Dunga kekal mengemudi pasukan sehingga Piala Dunia 2018, tempoh suram Brazil hanya akan berpanjangan.
SETAHUN berselang, satu lagi kegagalan berulang. Selepas diaibkan dengan kekalahan 1-7 kepada Jerman dalam Piala Dunia di negara sendiri, skuad Selecao ditunjukkan jalan keluar dari Copa America menerusi penentuan sepakan penalti oleh Paraguay buat edisi kedua berturut-turut dalam kejohanan benua Amerika Selatan ini.
Jaringan awal Robinho kelihatan memadai di Concepcion pada Sabtu tetapi Brazil tidak dapat berbangga dengan apa-apa yang lain kerana Paraguay yang ternyata bermain lebih baik sejurus Derlis Gonzalez mengikat kedudukan 1-1.
Barisan Albirroja seterusnya mengulangi kejayaan memenangi penentuan sepakan penalti pada Copa 2011 dan kekal tanpa kalah dalam kejohanan kali ini tetapi Brazil seharusnya berupaya memberikan persembahan lebih baik menentang lawan yang dianggap kerdil.
Dunga sebelumnya sudah jenuh dikritik sebagai pemain kerana aksinya yang dianggap primitif. Seorang pemain lasak yang gemar memenangi bola dengan apa cara sekalipun, dia dianggap sebagai pemain yang langsung tidak bercirikan keindahan bola sepak Brazil. Malah, ketika dia mengetuai skuad Piala Dunia pada 1994, ia sebuah pasukan yang lebih pragmatik daripada cantik.
Kini, dia adalah jurulatih pasukan kebangsaan yang paling kurang bercirikan bola sepak Brazil. Pendekatan bertahannya telah memberikannya lebih ramai musuh daripada rakan di sebalik dia meraih serba sedikit kejayaan dalam tempoh pertamanya selaku jurulatih pada 2007-2010.
Dia memiliki barisan pemain lebih baik ketika itu tapi tidak memilikinya kini. Hilangnya khidmat Neymar gara-gara penggantungan selain Danilo, Marcelo dan Luiz Gustavo yang cedera, ia menghadirkan ujian getir terhadap skil kejurulatihan Dunga. Malangnya, dia gagal sama-sekali.
Buat sekian lama, Brazil bergantung kepada bakat individu. Dan tanpa pemain sedemikian, hairannya tiada juga pelan konkrit, tiada projek dan tiada proses sebenar. Segala-galanya terserah kepada jurulatih dan permainan corak bertahan hanya sebahagian permainan mereka.
Dunga sebelumnya menyinar bersama Brazil selaku pemain kerana dia dikelilingi bakat ternama seperti Romario dan Bebeto yang mampu memenangkan pasukan hanya dengan sekilas kepintaran. Tapi generasi Brazil kini hanya ada seorang pemain seumpama itu – Neymar. Namun, dengan kehadirannya pun, pasukan terikat oleh tuntutan jurulatih yang mengutamakan bertahan.
Jika Dunga kekal mengemudi pasukan sehingga Piala Dunia 2018, tempoh suram Brazil hanya akan berpanjangan.
#bola sepak #Copa America
;