Brazil akan rangkul Piala Dunia 2018 - Douglas Costa

Astro Arena
September 8, 2016 12:56 MYT
COSTA: Saya akan merangkul Piala Dunia 2018 bersama Brazil.
PENYERANG Brazil, Douglas Costa, percaya bahawa negaranya memiliki kualiti untuk memenangi Piala Dunia 2018 di Russia.
Kali terakhir pasukan dari Amerika Selatan itu memenangi Piala Dunia adalah pada tahun 2002, sementara mereka dimalukan di laman sendiri dengan kekalahan 7-1 kepada Jerman pada peringkat separuh akhir pada 2014.
Brazil, yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara bola sepak Sukan Olimpik Rio 2016 dengan mempamerkan persembahan terbaik, kini menyaksikan mereka berada di tangga kedua dalam kelayakan CONMEBOL.
Costa berasakan berada di bawah kendalian jurulatih, Tite, yang dilantik pada bulan Jun, pasukannya mampu untuk meraih kejayaan di Rusia.
"Saya akan merangkul Piala Dunia 2018 bersama Brazil," katanya kepada Abendzeitung.
"Kami ada apa yang diperlukan dalam sebuah pasukan. Kami juga mempunyai pemain yang cukup berkualiti seperti Neymar dan (Philippe) Coutinho. Jurulatih yang baru juga terbaik.
"Jika kami mempamerkan aksi sebagai sebuah pasukan, kami akan menjadi pasukan pilihan."
Costa, 25, yang terlepas aksi di Olimpik Rio selepas mengalami kecederaan, terpaksa memulakan musim barunya sedikit lewat.
Bekas bintang Shakhtar Donetsk itu telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Bundesliga pada permulaan tahun ini, tetapi menegaskan dia gembira untuk berada di Munich.
"Tidak ada sebab mengapa saya perlu meninggalkan Bayern," kata Costa.
"Saya mempunyai musim pertama yang sangat baik, telah menyumbang untuk meraih kejuaraan, dan saya rasa sangat selesa untuk berada di sini sejak dari mula lagi."
Costa akan membuat penampilan selepas pulih daripada kecederaan dalam pertemuan Bayern menentang Schalke dalam aksi Bundesliga pada Jumaat.
#berita sukan #bola sepak #Brazil #Douglas Costa #Piala Dunia
;