Brahim Diaz berhijrah ke Madrid
Ian Johan Ariff
Januari 7, 2019 16:49 MYT
Januari 7, 2019 16:49 MYT
REAL Madrid bersetuju membawa pemain Manchester City, Brahim Diaz ke Sepanyol dengan bayaran sekitar £15.5 juta (RM81.3 juta).
Diaz menyertai City dari akademi bola sepak Malaga, gagal mendapat tempat selepas berada di belakang Raheem Sterling, Leroy Sane dan Riyad Mahrez di bahagian serangan.
Pemain Sepanyol itu hanya membuat lima penampilan untuk City dalam Liga Perdana Inggeris dan 15 perlawanan untuk skuad senior sejak menyertai kelab itu pada 2016.
Menurut laporan Sky Sports News, Real akan membayar yuran permulaan sebanyak £15.5 juta kepada City untuk mendapatkan khidmat Diaz.
Bayaran kemungkinan meningkat kepada £22 juta (RM115.3 juta) dengan beberapa nilai tambahan.
Kontrak perpindahan juga termasuk keuntungan 15% dibayar kepada City, jika Diaz dijual kepada kelab lain di masa hadapan dan meningkat kepada 40% jika Madrid menjualnya kepada Manchester United.
Diaz sebelum ini menolak tawaran kontrak baharu dari City dan boleh berhijrah secara percuma pada bulan Jun tahun ini.