The Bos Gaurus perlu bermula dari bawah, kata bekas pengurus besar

Astro Arena
Februari 15, 2022 09:03 MYT
Perak FC, yang kini di bawah pemilik baru IMC, mungkin dilucutkan penyertaan dalam Liga Perdana 2022. - Foto Facebook Perak FC
PERAK disaran membina semula reputasi pasukan itu dari bawah selepas terus dibelenggu masalah kewangan.
Tunggakan gaji sebanyak RM1.7 juta yang dipercayai membabitkan tiga pemain import Leandro Dos Santos, Careca dan Jeon Hyo-seok itu menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan larangan pendaftaran pemain baru ke atas The Bos Gaurus bagi mengharungi kempen musim ini.
Sebaliknya, barisan sedia ada pula tidak cukup untuk memenuhi syarat pendaftaran yang menetapkan minimum 20 pemain.
Situasi itu menyaksikan mereka yang kini di bawah pemilik baru, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd, sejak November lalu mungkin dilucutkan penyertaan dalam Liga Perdana 2022.

Biar betul @peraktbgmy bakal menimpa nasib sama seperti @PerlisPfa??? pic.twitter.com/GfPq9e8Fxg

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) February 14, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Lantas, bekas pengurus besar Perak musim lalu, Azman Noh, menyifatkan persiapan bekas juara Piala Malaysia 2018 itu sebagai cacamarba tatkala tarikh pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) tinggal sembilan hari sahaja lagi sementara saingan divisyen kedua berkenaan bermula 5 Mac depan.
"Kami perlu reda sahajalah, kalau itu yang berlaku sebab kalau nak masuk Liga M3 (divisyen) sekalipun kena tunggu tahun depan, saingan tahun ini sudah berjalan.
"Tahun depan sahajalah kita bermula balik dari bawah. Ungkapan Perak menjadi macam Perlis mungkin menjadi kenyataan.
"Tapi jangan salahkan sesiapa. Tahun lalu saya hanya bawa pasukan selama tiga bulan sahaja, bukan daripada Januari.
"Waima siapa pun yang menjadi peneraju sejak 2021, dia perlu langsaikan hutang itu," katanya.
Dalam masa sama, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri G Irudianathan, percaya tunggakan itu sempat diselesaikan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain.
"Walaupun pasukan tidak sekuat mana yang dijangkakan. Tapi kami masih kekal akan bersaing dalam Liga Perdana.
"Matlamat kami ialah selesaikan (tunggakan gaji) dalam beberapa hari lagi.
"Kami perlu sertakan bukti pembayaran, maka selepas itu ada satu ruang buat kami," katanya.
#Azman Noh #Perak FC #masalah kewangan #tunggakan gaji
;