The Bos Gaurus gembira kembali jalani latihan berkumpulan

Bernama
Jun 22, 2020 19:18 MYT
Ketua jurulatih Perak Mehmed Durakovic berkata latihan yang diadakan di Stadium Perak di sini itu melibatkan 25 pemain keseluruhannya yang dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan setiap sesi latihan selama 45 minit. - Stadium Astro
Skuad bola sepak Perak kembali menjalani latihan secara berkumpulan buat kali pertama pada Isnin selepas "berehat panjang" susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.
Ketua jurulatih Perak Mehmed Durakovic berkata latihan yang diadakan di Stadium Perak di sini itu melibatkan 25 pemain keseluruhannya yang dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan setiap sesi latihan selama 45 minit.
Beliau berkata walaupun pemain terpaksa menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, latihan itu memadai bagi meningkatkan kembali tahap kecergasan pemain sebelum aksi Liga Super bersambung semula.
"Bukan sesuatu yang mudah setelah hampir tiga bulan tidak bermain bola sepak, (pemain) hanya duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa ... ada antara pemain yang kita lihat masih perlu meningkatkan kecergasan.
"Secara jujurnya, ini mengambil masa. Kita terima keadaan ini kerana masa masih panjang dan apa yang boleh saya katakan kita gembira kerana diberi kebenaran untuk kembali menjalani latihan di padang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pertama skuad The Bos Gaurus tersebut.
Menurutnya pemain juga tidak sabar untuk kembali bersaing dengan pasukan lain dalam liga, namun mereka sedar masa yang ada ini perlu digunakan untuk meningkatkan semula keserasian serta kecergasan.
-- BERNAMA
#bola sepak #latihan berkumpulan #Mehmed Durakovic #Perak #perintah kawalan pergerakan #PKP #prosedur operasi standard #SOP
;