Borussia Dortmund-JDT bakal berentap hujung bulan ini

Sinar Harian
November 1, 2022 17:09 MYT
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada tahun 2015.- Foto JDT
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengalu-alukan kunjungan gergasi Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund dalam perlawanan persahabatan kelab antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November.
"Kami berbangga untuk mengalu-alukan kehadiran Borussia Dortmund untuk perlawanan persahabatan kelab antarabangsa bertemu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik sebagai sebahagian dari Jelajah Asia BVB 2022.
"JDT dan gergasi Jerman ini sudah mempunyai kerjasama yang baik sejak kolaborasi akademi dan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Larkin pada tahun 2015.
"Ia adalah satu kebanggaan untuk menerima kunjungan pasukan bereputasi seperti Borussia Dortmund sekali lagi dan kali ini di rumah baharu kami," jelas pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,
Sementara itu, wakil kelab Jerman itu Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Komersil, Benedikt Scholz berkata, teruja dan gembira dapat kembali semula ke Johor Bahru untuk bertemu rakan lama dari Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim.
Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu adalah pada tahun 2015.
"Pasukan kami tidak sabar untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih dan bertemu dengan peminat dan penyokong di Malaysia sekali lagi," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Borussia Dortmund Asia Pasifik, Dr Suresh Letchmanan berkata, menghargai jalinan kerjasama dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim dan Tunku Mahkota Johor.
"Atas sebab itu kami berbesar hati kerana dapat melangsungkan perlawanan ini sebagai sebahagian daripada Jelajah Asia BVB 2022.
"Kami di BVB teruja untuk mengulangi kembali perlawanan yang pernah berlangsung pada 2015 dan menjangkakan sebuah pengalaman yang tidak boleh dilupakan," katanya. -- Sinar Harian
#JDT #Borussia Dortmund #kelab Jerman #perlawanan persahabatan
;