Boris Becker "temui dirinya semula" ketika dalam penjara

Bernama
Disember 21, 2022 14:27 MYT
Juara Wimbledon tiga kali itu, dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun pada akhir April di London kerana menyembunyikan aset bernilai berjuta-juta daripada pentadbir insolvensi.- fotoREUTERS
BERLIN: Bintang tenis Boris Becker berkata sepanjang berada di dalam penjara ia telah banyak memberikannya pengajaran serta mengubah dirinya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Saya telah menemui diri saya semula ... Banyak pengajaran yang saya belajar. Pengajaran yang menyakitkan tetapi amat berharga.
"Semua itu telah mendidik saya nilai yang baik dan penting. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya," kata pemain tenis berusia 55 tahun itu dalam temu bual dengan saluran TV Jerman Sat 1.
Juara Wimbledon tiga kali itu, dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun pada akhir April di London kerana menyembunyikan aset bernilai berjuta-juta daripada pentadbir insolvensi.
Dia dibebaskan minggu lalu dan dihantar pulang ke negara asalnya Jerman selepas menjalani hukuman penjara selama lapan bulan.
Menceritakan pengalaman ketika di penjara, bekas ahli sukan itu berkata: "di penjara, anda bukanlah sesiapa. Anda hanyalah nombor. Mereka tidak memanggil saya Boris. Mereka panggil saya dengan nombor A2923EV."
--BERNAMA
#Boris Becker #Wimbledon #penjara #tenis
;