Boris Becker sedia kembali melatih Novak Djokovic
Astro Arena
Januari 25, 2017 11:42 MYT
Januari 25, 2017 11:42 MYT
BORIS BECKER tidak menolak untuk kembali melatih Novak Djokovic selepas seminggu mengkritik pemenang 12 gelaran Grand Slam itu ekoran tersingkir awal di Terbuka Australia.
Becker dan pemain nombor dua itu berpisah secara persetujuan bersama bulan lalu selepas menuai pelbagai kejayaan sejak bekerjasama dalam tempoh tiga tahun lalu.
Becker -- juara gelaran utama sebanyak enam kali -- menuduh juara bertahan itu gagal mempamerkan semangat juang dan terlalu bertahan selepas kekalahan kepada Denis Istomin di pusingan kedua di Melbourne, minggu lalu.
Namun, Becker berkata hubungan mereka tidak retak dan Becker tidak menolak sekiranya mereka dapat bekerjasama semula.
Becker memberitahu Eurosport: "Saya meletakkan harapan tinggi ke atas Novak, Dia hanya perlu kembali fokus.
"Adakah saya akan kembali melatihnya? Saya sentiasa menjadi sahabatnya dan sentiasa berada disisinya. Hubungannya kami akrab. Entahlah, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.
"Banyak pelajaran yang saya kutip ketika melatih Novak. Saya sentiasa memikirkan perlawanan tenis sama seperti di zaman saya. Saya tidak meyedarinya sehinggalah saya bekerjasama dengan Novak.
"Ia pengalaman yang cukup berbeza dan saya sangat berterima kasih mengenainya. Kita tengoklah nanti."
Djokovic gagal mencapai kemuncak prestasinya sejak menamatkan penantian untuk memenangi Terbuka Perancis Jun lalu dan Becker boleh memahami kemerosotan pemain itu.
"Anda perlu kembali memberi keutamaan kepada tenis dan saya harap dia melakukannya," kata Boris, 49 tahun.
"Orang ramai tidak sedar apakah pengorbanan yang diperlukan untuk memenangi satu Grand Slam. Bayangkan anda memenanginya empat kali berturut-turut, dia adalah pemenang sejati.
"Impiannya sudah menjadi kenyataan. Sudah tentu fokus anda juga terjejas. Sudah tentu keluarganya mahukannya kembali. Dia adalah seorang manusia berjiwa besar.
"Dia seorang pemain yang hebat dan sudah tentu motivasinya sedikit pudar. Untuk menemuinya kembali, anda perlu turun menjalani latihan dan ia bukan mudah ketika anda berada di puncak."