Boling padang pairs lelaki lengkapkan sasaran emas keempat

Bernama
Ogos 26, 2017 13:46 MYT
Muhammad Hizlee (kiri) dan Fairul Izwan (kanan) meraikan kejayaan bersama pingat emas masing-masing selepas tamat acara akhir boling padang pairs lelaki Sukan SEA KL2017, hari ini. -- fotoBERNAMA
Skuad boling padang negara hari ini melengkapkan sasaran empat pingat emas apabila menewaskan Filipina 20-13 menerusi acara pairs lelaki pada final di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara di sini.
Skuad negara bimbingan jurulatih Simon Botha dan Zuraidi Puteh itu dibarisi Fairul Izwan Abd Muin dan Muhammad Hizlee Abdul Rais manakala Filipina diwakili Marcelito Pancho dan Morales Angelo.
Aksi final yang mengambil masa hampir tiga jam itu bermula dengan Malaysia membuat mata pembukaan 1-0 sebelum menambah mata demi mata mendahului pasukan lawan sehingga tamat perlawanan.
Kemahiran kedua-dua atlet negara membuat balingan bola memainkan peranan penting sebagai faktor penyumbang emas tambahan sepertimana disasarkan skuad boling padang iaitu empat emas.
Perlawanan disudahi dengan Malaysia menambah tiga mata tambahan pada ends ke-15 manakala Filipina menambah satu mata pada ends ke-17 dengan mata penyudah 20-13.
Sebelum ini, tiga pingat emas acara boling padang diraih melalui acara triples lelaki dan wanita serta fours wanita.
Muhammad Hizlee yang ditemui selepas perlawanan itu menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang tidak henti memberi sokongan moral kepadanya untuk terus mencipta nama dalam acara itu.
"Usaha dan pengorbanan selama ini berbaloi... kami lalui latihan yang ambil masa lama dan kemenangan hari ini amat bermakna sekali," kata atlet berusia 28 tahun itu.
Muhammad Hizlee sebelum ini mengutip pingat emas di World Champion of Champions (2012) dan pingat perak di Sukan Komanwel Glasgow (2014).
Kalungan pingat disempurnakan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
-- BERNAMA
#boling #boling padang #KL2017 #pairs lelaki #pingat emas #Sukan SEA
;