Boling padang: Hasrat Izzat, Nurul Alyani ke final Champion of Champions tidak kesampaian
Bernama
September 16, 2023 18:36 MYT
September 16, 2023 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat dua atlet boling padang kebangsaan ke pentas final kejohanan Champion of Champions 2023 di Gold Coast, Australia tidak kesampaian selepas tewas kepada lawan masing-masing pada aksi separuh akhir, petang ini waktu Malaysia.
Menurut laman sesawang rasmi World Bowls, https://results.mc.worldbowls.com/ naib johan tahun lepas Izzat Shameer Dzulkeple terpaksa akur apabila ditewaskan Daniel Salmon dari Wales 0-5 menerusi acara perseorangan lelaki.
Daniel yang mara ke pentas akhir seterusnya menumpaskan Darren Gualtieri dari Scotland 5-0, untuk meraih gelaran juara musim ini.
Manakala, perseorangan wanita Nurul Alyani Jamil pula ditunjukkan jalan keluar dengan catatan, 1-5 oleh Lucy Beere dari Guernsey, sebuah pulau kecil di Selat Inggeris berdekatan pesisir pantai Perancis.
Bagaimanapun, Lucy ditewaskan Anne Nunes dari Amerika Syarikat, 1-5 pada aksi final hari ini.
-- BERNAMA