Boling: Muhammad Hafiz sedia pertahan gelaran di Terbuka Malaysia 2025

Bernama
Mac 19, 2025 18:03 MYT
Atlet boling negara Muhammad Hafiz Zainuddin ketika sesi latihan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-43 2025 di Sunway Pyramid hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Pemain boling kebangsaan Muhammad Hafiz Zainuddin menganggap usahanya untuk mempertahankan gelaran dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025, sebagai pertarungan antara dirinya dan jatuhan pin kerana segala kemungkinan boleh berlaku sepanjang edisi ke-43 yang berlangsung dari 7 hingga 20 April ini.
Muhammad Hafiz berkata seperti kebanyakan atlet lain, beliau kini gigih berlatih dan memperbaiki kelemahan kerana berhasrat untuk beraksi dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Professional (PBA) dalam tempoh dua tahun lagi.
"Biasanya, kita akan tengok kepada lane untuk tentukan sasaran pada apa yang kita perlu buat untuk menjadikan konsisten. Cabaran peserta? Semua kata boleh menang," katanya kepada pemberita selepas sidang media kejohanan berkenaan di Sunway Megalanes di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden MTBC, Datuk Mohd Najeeb Abdullah memaklumkan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025 akan disertai oleh 43 pemain negara selain menjangkakan penyertaan daripada 15 negara termasuk Malaysia, dengan tujuh daripadanya sudahpun mengesahkan kehadiran barisan elit mereka.
Negara yang telah mengesahkan penyertaan elit ialah Singapura, Sweden, Hong Kong, Filipina, Thailand, Macau dan Kuwait.
Selain itu, tiga pemain profesional antarabangsa iaitu Danielle McEwan (Amerika Syarikat), Maria Jose Rodriguez (Colombia) dan Pontus Anderson (Sweden) turut akan beraksi dalam kejohanan ini.
"Bagi kami kejohanan ini sangat penting, sebab kita ada Kejohanan Remaja Asia and Kejuaraan Para Asia pada Ogos," katanya.
Kejohanan yang diiktiraf oleh Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) dan Persekutuan Boling Asia (ABF) itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM450,550, merangkumi 10 divisyen berasingan melibatkan kategori peringkat remaja hingga senior berusia 50 tahun ke atas.
Antara yang menarik ialah kategori Terbuka Lelaki menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 manakala kategori Terbuka Wanita menyediakan RM30,000, menjadikannya antara kejohanan terbesar di Asia.
Sebagai rekod, Malaysia berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori lelaki dan wanita selama dua tahun berturut-turut menerusi Mohd Rafiq Ismail dan Lavinia Kho pada edisi 2023 diikuti Muhammad Hafiz dan Gillian Lim pada tahun lepas.
-- BERNAMA
#Muhammad Hafiz Zainuddin #pemain boling kebangsaan #Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia #Jelajah PBA
;