Bola sepak: Tebus maruah negara - Dollah Salleh

Astro Arena
Jun 2, 2021 07:32 MYT
Dollah Salleh percaya anak buah Tan Cheng Hoe mampu meneruskan momentum yang lebih baik berdasarkan kekuatan individu dalam pasukan. - Foto Astro ARENA
'HARAP Harimau Malaya dapat balas dendam.'
Itu permintaan bekas jurulatih negara, Dollah Salleh, kepada barisan pemain negara bagi mengubat kelukaan yang masih berbekas apabila skuad bimbingannya dibelasah 10-0 dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Dollah ketika berkongsi bicara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, percaya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mampu melakar kejutan ke atas lawan dengan syarat tidak mengambil risiko mempertaruhkan tonggak baru, Dion Cools.
"Kami memiliki barisan pemain individu yang terbaik kali ini. Saya berharap pasukan mampu membalas dendam ke atas UAE dalam perlawanan ini. Saya percaya ia sukar namun jika sentuhan pemain-pemain seperti Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan lain-lain menjadi, Malaysia berpeluang untuk menang," kata Dollah.
Berikutan kekalahan itu juga, Dollah mengumumkan peletakkan jawatannya selaku ketua jurulatih kebangsaan.
Kini, skuad negara sudah bangkit dan membuktikan kemampuan untuk kembali bersaing dengan UAE apabila sekadar tewas tipis 1-2 di Bukit Jalil pada 2019.
Dan Dollah percaya anak buah Cheng Hoe mampu meneruskan momentum yang lebih baik berdasarkan kekuatan individu dalam pasukan.
Namun, jurulatih Pahang FC itu mempunyai pandangan berbeza mengenai keperluan Cools untuk diletakkan dalam kesebelasan utama berdepan UAE.
"Persefahaman dalam pasukan itu amat penting. Jika keadaan agak sukar dihadapi, mungkin kehadiran Cools akan memperkuatkan pasukan," kata Dollah.
#bola sepak #Dollah Salleh #tonggak baru #melakar kejutan #ketua jurulatih #Piala Dunia #UAE #Tan Cheng Hoe #dion cools
;