Bola sepak pantai: Kita hanya ada kudrat dan semangat - Ismail

Astro Arena
Mac 7, 2017 23:48 MYT
Malaysia terus rebah di laman sendiri tetapi jurulatih, Ismail Zakaria, tidak jemu mencanang kepercayaan terhadap skuad negara. - Gambar fail
Malaysia terus rebah di laman sendiri tetapi jurulatih bola sepak pantai negara, Ismail Zakaria, tidak jemu mencanang kepercayaan terhadap skuad negara yang masih berbaki satu perlawanan dalam peringkat kumpulan, Kejohanan Bola Sepak Pantai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Kekalahan ketiga, di tangan Bahrain (5-6) semalam gagal mencetuskan rasa cemas buat Ismail yang sememang sudah arif sejauh mana kekuatan pasukannya itu.
Hasrat besar untuk memastikan kemenangan ke atas skuad itu hanya menjadi angan-angan kosong Ismail apabila sekali lagi terpaksa menelan pahit kekalahan dan dimalukan di hadapan penyokong sendiri.
Ketika Malaysia sedang mencari kemenangan pertama, 12 pasukan lain memiliki misi lebih besar iaitu merebut tiga slot terbaik untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia Bola Sepak Pantai di Bahamas, April depan.
"Anda semua dapat lihat betapa jauhnya perbezaan bukan sahaja saiz (badan) tetapi teknikal. Kalau teknikal hebat, mungkin kami boleh mengatasi mereka.
"Tetapi kalau teknikal tidak hebat, kita nampak macam itu lah, bermain dengan kudrat dan semangat yang ada, tetapi selebihnya adalah nasib," katanya.
Sukar untuk Ismail kembali menabur janji atau tampil lebih berkesan menjelang pertembungan dengan China, petang esok, tetapi itu lah satu-satunya peluang yang dimiliki Malaysia untuk terlepas daripada dilabel sebagai pasukan belasahan.
Nada pemain, Mohd Syafiq Riza Huzair, juga sama malah dia bersama rakan sepasukan enggan putus asa untuk sekurang-kurangnya memastikan kemenangan tunggal, berdepan China.
"Kami nampak perbezaan daripada segi pengalaman. Kita tahu Bahrain banyak sertai kejohanan antarabangsa sebaliknya kita kurang," katanya.
Malaysia berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata selepas mengharungi tiga perlawanan, manakala China (keempat) berada di atas skuad negara.
Sementara itu, Bahrain dan Afghanistan masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga, berada di belakang pendahulu kumpulan A, Iran, walaupun ketiga-tiga pasukan itu berkongsi enam mata.
#Afghanistan #Asia #bola sepak #Iran
;