Bola Sepak Pantai AFC: Iran aibkan Malaysia 14-0

Astro Arena
Mac 5, 2017 18:12 MYT
Skuad negara perlu bangkit dalam aksi ketiga Kumpulan A bertemu Bahrain, esok, untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya. - Foto Stadium Astro
Malaysia mengalami kekalahan kedua dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC selepas dimalukan Iran 0-14 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.
Moslem Mesigar membuka tirai jaringan buat Iran pada minit ketiga sebelum Mohamadali Mokhtar dan Moslem menambah dua lagi gol dalam tempoh seminit.
Dua minit sebelum suku pertama berakhir, Iran memperoleh tiga lagi gol, kali ini menerusi Farid Boulokbashi, Mohamadli dan Mostafa Kaini untuk menjadikan kedudukan 6-0.
Bersambung suku kedua, Iran menambah derita skuad negara dengan menyumbat enam lagi gol hasil jaringan Syed Ali Nazim (m-14) serta tiga gol pantas Hamid Behzadpour, Farid Boulokbashi dan hatrik Mohamadali (m-17).
Skuad kendalian Mohammad Hoseyn Mirshamsi itu terus bernafsu untuk mendahului 12-0 menerusi penalti Mohammad Ahmadzadeh (m-21) serta satu lagi hatrik dari Farid Boulokbashi (m-23).
Berbeza dengan aksi pembukaan semalam, skuad negara nyata gagal menandingi Iran selepas melepaskan dua lagi gol di penghujung perlawanan.
Kedudukan 14-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan skuad negara perlu bangkit dalam aksi ketiga Kumpulan A bertemu Bahrain, esok, untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.
#Bola Sepak Pantai AFC #Iran kalahkan Malaysia #Kuala Terengganu #Pantai Batu Buruk
;