Bola sepak: MUSA usaha selesaikan gaji pemain
Bernama
September 21, 2019 13:15 MYT
September 21, 2019 13:15 MYT
Pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan berusaha mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu tunggakan dua bulan gaji yang menyelubungi pasukan itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahari berkata kelewatan pembayaran gaji itu dihadapi berikutan masalah sama timbul, disebabkan terdapat penaja yang masih belum menyelesaikan komitmen tajaan sehinggakan bayaran gaji pemain tertangguh dan masih tidak dapat dijelaskan.
"Saya yakin pengurusan tertinggi MUSA akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan bayaran tertunggak ini lebih-lebih lagi selepas kejayaan pasukan kita menempah tempat ke saingan suku akhir Piala Malaysia.
"Perkara ini sudah dinyatakan Presiden persatuan, (Adly Zahari) yang telah berjanji sedaya upaya memastikan bayaran gaji pemain dapat dijelaskan namun terdapat sedikit kekangan menanti sumbangan penaja-penaja," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Yusoff yang juga pengurus Melaka United berkata, pihak MUSA juga berharap dengan kelayakan mara ke peringkat seterusnya itu akan mempercepatkan lagi proses sumbangan penaja kepada persatuan sebelum aksi pertemuan menentang Pahang Ahad ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya sekiranya pembayaran gaji itu dapat dilakukan ia pasti akan meningkatkan moral kepada para pemain untuk lebih berusaha menjelang tersebut.
"Ia satu perlawanan yang sengit, dan bila pasukan ini layak ke saingan lebih tinggi dan pencapaian terbaik musim ini kita sudah tentu mahu melihat Melaka United mampu melangkah lebih jauh.
-- BERNAMA
#Adly Zahari
#bola sepak
#Datuk Mohd Yusoff
#melaka united
#Persatuan Bola Sepak Melaka United MUSA
#Piala Malaysia